Berkarya biarlah kena dengan budaya Malaysia

Kontroversi membabitkan adegan atau babak drama yang dianggap melampau hingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam bukan benda baharu berlaku di negara ini.
Kontroversi membabitkan adegan atau babak drama yang dianggap melampau hingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam bukan benda baharu berlaku di negara ini.
A
A
A

KONTROVERSI membabitkan adegan atau babak drama yang dianggap melampau hingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam bukan benda baharu berlaku di negara ini.

Lebih mendukacitakan, ia membabitkan produksi atau syarikat penerbitan drama yang sama dengan alasannya pula untuk menonjolkan kelainan dan realiti sebenar kehidupan.

Terbaharu, drama bersiri Bidaah yang diterbitkan syarikat milik Erma Fatima sekali lagi mencetuskan perdebatan ramai susulan babak pelakon wanita menyentuh janggut pelakon lelaki menggunakan kaki dan adegan meminum air basuhan kaki.

Sebelum ini, Erma Fatima juga pernah terpalit dengan kontroversi sama, apabila drama Perempuan Itu yang menampilkan pelakon terkenal, Zul Ariffin turut mendapat kecaman selepas tular video adegan panas.

Apa yang lebih menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak, adegan tidak sepatutnya itu ditayangkan ketika umat Islam di negara ini menyambut bulan Ramadan yang mulia.

Bagaimanapun, tindakan pantas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang segera memanggil syarikat produksi drama berkenaan memberi sedikit kelegaan kepada banyak pihak.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menerusi satu kenyataan media baru-baru ini berkata, pihaknya telah memanggil wakil produksi drama bersiri tersebut susulan satu klip video episod yang mencetuskan kontroversi itu.

Beliau berkata, teguran juga telah dibuat dengan penegasan bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.

Artikel Berkaitan:

Tidak lama selepas itu, Erma Fatima juga tampil berlapang dada dan akur dengan teguran yang diberikan Jakim tersebut.

Beliau dalam masa sama turut mengaku kekhilafannya yang memaparkan dua adegan kontroversi hingga mencetuskan perdebatan pengguna media sosial.

Di sebalik apa yang berlaku ini, banyak pengajaran boleh diambil antaranya sisi positif tindakan menularkan video yang tidak sepatutnya untuk tujuan diambil tindakan dan keprihatinan tinggi masyarakat yang berpegang teguh kepada budaya dan norma Malaysia sebagai negara Islam.

Namun, tidak dinafikan masih ada pihak yang tertanya-tanya sampai bila isu sebegini boleh dinoktahkan dan adakah cukup sahaja dengan memanggil serta memberi teguran kepada mereka yang mencetuskan kontroversi?

Jawapannya sudah tentu tidak cukup. Jadi, bagi memastikan perkara ini dapat dikekang daripada terus berulang pada masa akan datang, sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan atau meminda undang-undang yang lebih tegas membabitkan tayangan drama atau filem di negara ini supaya tidak ada lagi mana-mana individu atau syarikat yang melanggar budaya, akhlak dan adab rakyat Malaysia.

Perlu diingat, kesan daripada drama yang ditayangkan tanpa tapisan begitu ketat boleh mendatangkan banyak kesan buruk kepada masyarakat terutamanya golongan muda yang mudah terikut-ikut daripada apa yang dipertontonkan kepada mereka.

Di pihak penghasilan produk juga, perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memastikan setiap naskhah drama atau filem yang ingin ditayangkan mempunyai nilai dan pengajaran yang baik untuk semua pihak.

Tidak salah untuk mana-mana pihak bersikap kreatif dalam menghasilkan karya sama ada berbentuk kekeluargaan, cinta atau agama, namun biarlah ada batasnya demi kesejahteraan bersama.

Tiada guna semata-mata ingin mengejar populariti dan menjadikan drama atau filem 'trending' hingga sanggup mencetuskan kontroversi tidak wajar kerana kesannya mungkin lebih banyak negatif daripada positif.

Semoga kontroversi membabitkan drama ini adalah yang terakhir kita dengar mengenai pihak produksi yang tidak peka atau bersikap keterlaluan dalam menghasilkan apa sahaja bentuk karya masing-masing.

*Nurul Huda Husain ialah wartawan meja am Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!