Beri ruang kerajaan realisasikan pembaharuan

KERAJAAN bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Parlimen bagi memastikan rakyat miskin di bandar khususnya di Kuala Lumpur mendapat kehidupan lebih selesa.
Namun, langkah ini mendapat tentangan segelintir pihak yang merancang mengadakan perhimpunan bagi membantahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa RUU itu bukan bertujuan mengubah status tanah atau menafikan hak milik strata, tetapi untuk membangunkan semula kawasan perumahan usang yang telah dihuni selama puluhan tahun.
Matlamat utama adalah memperbaiki taraf hidup golongan miskin yang sekian lama terpaksa menetap di flat usang dengan hanya satu bilik.
Menentang tanpa alternatif jelas hanya akan melambatkan proses pembaharuan diperlukan oleh masyarakat marhaen.
Sejarah membuktikan tanpa reformasi terancang, masyarakat bandar akan terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan.
Pembaharuan bandar bukan sekadar projek pembangunan fizikal, tetapi juga satu usaha untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih baik dengan persekitaran lebih selamat dan kemudahan lebih moden.
Jika perumahan rakyat terus dibiarkan dalam keadaan daif, kesannya bukan sahaja kepada penghuni tetapi juga pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan.
Kerajaan perlu diberikan ruang untuk merealisasikan pembaharuan ini.
Kritikan dan cadangan membina adalah wajar, tetapi jangan sampai usaha membantu rakyat miskin dipolitikkan.
Golongan berpendapatan rendah harus diberikan keutamaan dalam agenda pembangunan dan RUU PSB merupakan langkah ke arah itu.
Akhbar ini juga berharap RUU PSB dipantau dengan ketat supaya tidak disalahgunakan atau menjadi alat menguntungkan pihak tertentu.
Keberkesanan pelaksanaan dasar ini perlu dipastikan melalui pemantauan rapi dan ketelusan dalam setiap proses.
Namun, menolak reformasi yang bertujuan membela rakyat miskin hanya kerana perbezaan politik adalah satu pengkhianatan kepada mereka yang memerlukan.
Justeru, semua pihak perlu bersikap matang dan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat berbanding kepentingan politik sempit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!