Bapa beli juadah berbuka, dua anak terkunci dalam kereta

JASIN - Seorang pengunjung Bazar Ramadan Merlimau di sini, pada Rabu, cemas apabila anaknya berusia enam dan empat tahun terkunci di dalam kereta Toyota jenis Vios.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang sebelum bergegas ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati benar terdapat dua kanak-kanak terkunci dalam kenderaan itu.
"Lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau segera melakukan operasi menyelamat.

"Pintu kereta berjaya dibuka menggunakan peralatan khas dengan dan bomba mengambil masa 10 minit sebelum dua kanak-kanak lelaki itu berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki berusia 30-an itu meninggalkan anaknya di dalam kereta untuk pergi membeli juadah berbuka di bazar Ramadan berhampiran.
Ujarnya, bapa kanak-kanak itu memaklumkan anak-anaknya ditinggalkan kira-kira 20 minit dengan keadaan enjin kereta masih dihidupkan dan tingkap diturunkan sedikit.
"Apabila lelaki itu kembali semula ke kereta, dia mendapati tingkap kereta sudah ditutup kerana hujan dan kedua-dua anaknya tertidur.
"Bagaimanapun dia cuba mengejutkan anaknya, namun gagal sebelum menghubungi talian kecemasan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!