'Anak-anak tunggu Eda Ezrin pulang nak sambut raya bersama'

Bapa kepada penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin iaitu Wan Ismail Wan memberitahu kedua-dua cucunya memasang impian untuk menyambut Aidilfitri bersama ibu mereka. Gambar kecil: Eda Ezrin
Bapa kepada penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin iaitu Wan Ismail Wan memberitahu kedua-dua cucunya memasang impian untuk menyambut Aidilfitri bersama ibu mereka. Gambar kecil: Eda Ezrin
A
A
A

KOTA BHARU – Bapa kepada penyanyi terkenal Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, iaitu Wan Ismail Wan Yusof, 52, memaklumkan bahawa kedua-dua cucunya memasang impian untuk menyambut Aidilfitri bersama ibu mereka.

"Mereka sangat teruja apabila mengetahui ibu mereka bebas daripada tuduhan tersebut. Kedua-duanya mengimpikan untuk beraya bersama Eda Ezrin.

"Bagaimanapun, kami tidak memberikan harapan yang tinggi, sebaliknya hanya berdoa semoga ada keajaiban berlaku dan Eda Ezrin dibebaskan lebih awal," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, selain anak-anak penyanyi itu, seluruh ahli keluarga turut berharap dapat menyambut Aidilfitri bersama Eda Ezrin.

Ujarnya, perasaan itu turut dikongsikan oleh Eda Ezrin semasa ibu dan adiknya melawatnya di Penjara Wilayah Narathiwat pada Khamis lalu.

Sementara itu, Wan Ismail berharap pihak pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membebaskan Eda Ezrin, suaminya serta empat lagi rakan mereka.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima semasa lawatan, Eda Ezrin memaklumkan bahawa pihak pendakwa raya masih belum mengemukakan sebarang rayuan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan mereka terlepas daripada hukuman penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan dalam prosiding sebutan semula kes yang berlangsung pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, meskipun dibebaskan daripada tuduhan tersebut, Eda Ezrin, suami serta empat rakannya tetap perlu kembali ke Penjara Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Peguam bela yang mewakili Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz, berkata pendakwa raya boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh satu hingga empat bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!