Pengajaran di sebalik kisah Eda Ezrin

RAKYAT Malaysia yang melancong ke luar negara perlu mengambil iktibar daripada nasib penyanyi terkenal Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami serta empat rakannya.
Meskipun dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada Khamis, namun mereka terpaksa kembali ke Penjara Wilayah Narathiwat sementara pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah.
Menurut peguam bela Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz, pendakwa raya di Thailand mempunyai tempoh antara satu hingga empat bulan untuk mengemukakan rayuan.
Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia memahami dan menghormati undang-undang negara yang kita kunjungi.
Pepatah Melayu ada mengatakan, 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.
Ini bermakna, setiap pelancong perlu mematuhi peraturan negara asing bagi mengelakkan sebarang masalah undang-undang.
Kesalahan seperti penyalahgunaan dadah atau penipuan boleh menyebabkan kita ditahan oleh pihak berkuasa dan terpaksa menjalani hukuman penjara yang bukan sahaja membebankan diri sendiri tetapi juga keluarga di tanah air.
Kita perlu sedar bahawa jika ditahan di luar negara, ahli keluarga mungkin terpaksa menjual harta benda seperti rumah pusaka atau barang kemas semata-mata untuk membayar kos guaman yang tinggi demi membebaskan kita.
Jika tiada sumber kewangan mencukupi, usaha untuk mendapatkan pembebasan boleh menjadi hampir mustahil.
Justeru, bagi mengelakkan diri daripada meringkuk dalam penjara di negara asing, elakkan daripada melakukan sebarang kesalahan jenayah semasa melancong, tidak kira di Thailand, Eropah, Australia mahupun Timur Tengah.
Sentiasa berhati-hati, elakkan bergaul dengan individu mencurigakan dan pastikan segala aktiviti yang dilakukan tidak melanggar undang-undang tempatan.
Kes Eda Ezrin ini seharusnya menjadi peringatan agar kita lebih berwaspada ketika berada di luar negara.
Seperti kata pepatah, 'menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya'.
Oleh itu, jadilah pelancong yang bijak dengan mematuhi peraturan dan menjaga tingkah laku agar perjalanan yang sepatutnya menyeronokkan tidak bertukar menjadi mimpi ngeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
