Curi barang kemas RM60,000, polis tahan suspek warga asing

NILAI - Seorang wanita mendakwa barang kemas miliknya bernilai RM60,000 dilarikan seorang lelaki warga asing yang dilantik melakukan pengubahsuaian rumah di Taman Laman Puteri di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hashim berkata, pihaknya menerima laporan wanita berusia 40-an itu membabitkan kehilangan sebentuk cincin dan dua utas rantai leher pada Jumaat lalu.
Menurutnya, susulan laporan itu, sepasukan polis bergegas ke Kampung Bahagia Jiboi, Seremban untuk mengesan suspek.
"Suspek dipercayai melarikan diri ketika risikan dilakukan sekitar jam 1.15 pagi pada Sabtu.
"Bagaimanapun kira-kira jam 11.30 malam pada Ahad, seorang wanita warga asing lingkungan usia 40-an dipercayai turut terlibat dalam kejadian ini berjaya ditahan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, mangsa berkongsi mengenai kecurian barangan kemas miliknya seperti tular di media sosial.
Mangsa mendakwa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dua hari lalu, namun tiada sebarang perkembangan kes diterima setakat ini.
Abdul Malik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi di dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda.
Ujarnya, setakat ini seramai tiga saksi diambil rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
"Orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor R Raj Kumar atau tampil di balai polis berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!