'Pernah hidup susah, kini raikan pelanggan patin percuma'

KUANTAN – "Dulu, saya hanya dapat makan di restoran setahun sekali, tetapi hari ini, saya mahu lebih ramai orang menikmatinya tanpa perlu risau soal harga."
Demikian kata pemilik Café Banglo 1962, Siti Nor Janah Md Fabilah, atau lebih dikenali sebagai Kak Jane, yang menawarkan 100 ekor patin bakar percuma sepanjang Ramadan kepada pelanggan yang berbuka puasa di restorannya.
Kak Jane berkata, inisiatif ini lahir daripada pengalaman hidupnya yang dihimpit kemiskinan apabila keluarganya hanya mampu menikmati hidangan di restoran setahun sekali.
Menurutnya, kenangan itu meninggalkan kesan mendalam dan menjadi pendorong untuk berkongsi rezeki dengan orang lain.
"Saya masih ingat betapa gembiranya kami sekeluarga apabila dapat berbuka di restoran, tetapi itu cuma sekali dalam setahun.
"Dari situlah timbul keinginan untuk saya ‘belanja’ pelanggan ke restoran saya tanpa rasa terbeban," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Bercakap mengenai niatnya membantu masyarakat, Kak Jane berkata, hidangan 100 ekor patin bakar percuma itu bukan sahaja disediakan kepada sukarelawan, malah terbuka kepada semua pelanggan yang berbuka puasa di Café Banglo 1962 sepanjang Ramadan ini.
"Saya mahu semua orang datang berbuka dengan tenang, menikmati makanan berkualiti tanpa risau soal harga.
"Biar mereka merasai kemeriahan berbuka di restoran seperti yang saya impikan dahulu," jelasnya yang berasal dari daerah ini.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, konsep sedekah ini telah dilaksanakan sejak tahun lalu dengan menawarkan hidangan ikan siakap tiga rasa percuma kepada pemegang kad orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, hidangan ikan siakap talam pada harga RM19.90 turut ditawarkan sebagai usaha meringankan beban pelanggan.
"Setiap tahun, kami cuba lakukan sesuatu mengikut kemampuan.
"Apabila ada rezeki lebih, kami juga membuat agihan makanan kepada mereka yang dalam perjalanan pulang dari kerja," tambahnya.
Kak Jane mengakui meskipun berdepan cabaran untuk memastikan perniagaannya kekal bertahan, dia tetap berusaha untuk terus memberi dan berkongsi rezeki dengan masyarakat selagi termampu.
"Saya hanya berharap semua yang menikmati rezeki ini dapat mendoakan perniagaan kami terus bertahan dan berkembang.
"Apabila perniagaan maju, saya boleh terus memberi dan membantu lebih ramai orang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!