'Mayat budak' gamatkan Kampung Durian Daun

MELAKA - Penduduk Kampung Durian Daun di sini, gempar dengan penemuan objek berbungkus kain batik berwarna biru seperti 'mayat kanak-kanak' di sini, pada malam Ahad.
Bagaimanapun objek yang disangkakan mayat itu rupanya bungkusan ikatan daun semambu yang diletakkan di tepi jalan berhampiran taman permainan kampung berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, ketika menerima aduan berkenaan beliau berada di program tadarus Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka.
Menurutnya, penduduk kemudian telah menghubungi pihak polis bagi mendapat kepastian bungkusan objek tersebut sebelum pemeriksaan polis mendapati ia adalah bungkusan daun semambu.
"Tak ke berderau darah ko (kau). Mat hanya mampu cakap, tunggu Polis Melaka jer lah. Jangan memandai.
"Polis sampai dan buka bungkusan. Rupanya ikatan daun semambu. Pergh, lain macam punya cara bungkus," tulisnya menerusi perkongsian di media sosial, Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital berkata, berderau darahnya ketika menerima info berkenaan namun bernasib baik beliau tidak terus bergegas ke lokasi kejadian.
"Kalau bergegas pergi, pahala tengok tadarus tak dapat, kena akal dengan daun semambu yang dapat. Betul-betul jadi waibee (YB) pandir," tulisnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

