Saloma KL, tiga yayasan agih 3,000 pek makanan kepada asnaf fakir miskin

Riza Che Umar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan beras, nasi Arab dan bubur lambuk kepada pengunjung Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya di ibu negara, pada Ahad - Foto Sinar Harian/MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI
Riza Che Umar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan beras, nasi Arab dan bubur lambuk kepada pengunjung Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya di ibu negara, pada Ahad - Foto Sinar Harian/MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 3,000 pek nasi Arab, beras tempatan, dan bubur lambuk diagihkan kepada golongan asnaf, fakir miskin, serta orang ramai yang mengunjungi Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya di sini pada Ahad.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Che Umar, berkata program kebajikan khas ‘Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan’ bertujuan menyantuni masyarakat menerusi agihan sumbangan makanan dan barangan keperluan asas secara percuma.

Menurutnya, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan sempena bulan Ramadan.

"Program ini sebahagian daripada Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya yang berlangsung selama sebulan bagi meraikan keindahan Ramadan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Acara ini bukan sekadar membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga mengeratkan hubungan komuniti serta memeriahkan suasana Ramadan dengan pelbagai aktiviti," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan.

Program yang pertama kali diadakan ini adalah hasil kerjasama Yayasan Insan Sakan, Yayasan Muhibah, dan Yayasan Global Mesra.

Dalam pada itu, Riza menyatakan hasrat untuk meneruskan program ini pada Ramadan tahun hadapan berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Karnival ini juga memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka dengan lebih meluas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lebih 100 tapak perniagaan disediakan bagi peniaga menjual pelbagai produk seperti pakaian, kelengkapan, serta kuih-muih menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Karnival turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Ella, Ashraf Muslim, Nad Zainal, Sharifah Shahirah, Fizz Fairuz, Aprena Manrose, dan ramai lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!