Trump jolok sarang tebuan, serang Huthi dan ancam Iran

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di Sanaa selepas AS membedil markas Huthi pada awal pagi Ahad.
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di Sanaa selepas AS membedil markas Huthi pada awal pagi Ahad.
A
A
A

SANAA - Tiada angin, tiada ribut, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan pertama ke atas Huthi di Yemen.

Operasi ketenteraan berskala besar itu turut meragut lebih 30 nyawa selepas Presiden Donald Trump melancarkan perang retorik ke atas gerakan penentangan anti-Israel disokong Iran tersebut setelah ia melancarkan semula operasi menyasarkan kapal Israel di perairan Asia Barat.

Jurucakap gerakan Huthi, Anis al-Asbahi pada Ahad mengesahkan serangan sengit ke atas kubu mereka di Sanaa itu turut meragut nyawa kanak-kanak manakala lebih 100 yang lain cedera.

Kawasan yang menjadi sasaran serangan udara AS itu ialah Saada, al-Bayda dan Radaa.

Trump menerusi platform media sosial beliau berikrar menggunakan segala kekuatan yang ada untuk menghentikan operasi Huthi yang dilancarkan sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin di Gaza.

Ibarat menjolok sarang tebuan, Trump dengan angkuh memberi amaran kepada Iran supaya menghentikan sokongan terhadap Huthi.

"Jangan ancam rakyat dan Presiden Amerika atau laluan perkapalan di seluruh dunia. Jika tidak, anda akan bertanggungjawab sepenuhnya. Kami tidak akan berlembut tentang hal itu!" katanya.

Sebagai respons terhadap tindakan provokasi Trump, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengecam kempen pengeboman AS tersebut dan menegaskan Washington tidak berhak atau mempunyai kuasa untuk menentukan dasar luar Teheran.

Artikel Berkaitan:

Ketua Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Salami dalam satu kenyataan berikrar untuk bertindak balas dengan tegas terhadap sebarang serangan.

"Iran tidak akan melancarkan perang, namun kami tidak akan berdiam diri dan semestinya memberi respons yang konklusif," ujarnya.

Sementara itu, Huthi menerusi laman web mereka mengutuk operasi ketenteraan AS-Britain dan jenayah kejam yang dilakukan Washington.

Terdahulu, Pusat Perintah AS (CENTCOM) memuat naik imej sasaran musnah dibedil di bawah operasi yang kononnya untuk mempertahankan kepentingan Amerika, menghalang musuh dan memulihkan kebebasan navigasi di perairan Asia Barat. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!