EU umum tarif timbal balik ke atas AS

EU juga bakal terkesan perang perdagangan dilancarkan AS. - Foto Agensi
EU juga bakal terkesan perang perdagangan dilancarkan AS. - Foto Agensi
A
A
A

BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) akan mengenakan tarif timbal balik berjumlah 26 bilion euro (RM125 bilion) ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) bermula bulan depan sebagai respons terhadap cukai import keluli dan aluminium dilaksanakan Washington.

Suruhanjaya Eropah (EC) itu juga akan menamatkan penggantungan tarif semasa ke atas produk AS bermula 1 April dan mengemukakan pakej tindak balas baharu terhadap produk dari negara itu pada pertengahan bulan depan.

“Ia sepadan dengan skop ekonomi tarif AS. Respons tegas kami akan diperkenalkan dalam dua langkah bermula 1 April dan berkuat kuasa sepenuhnya pada 13 April depan.

“Kami bersedia terlibat dialog yang serius dan telah mengarahkan Pesuruhjaya Perdagangan, Maros Sefcovic untuk menyambung semula rundingan bagi mencapai penyelesaian lebih baik dengan AS,” ujar Presiden EC, Ursula von der Leyen.

Levi berjumlah 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium yang diumumkan Presiden Donald Trump berkuat kuasa pada Rabu tanpa sebarang pengecualian.

Duti terbaharu itu sekali lagi akan memberi impak besar kepada Kanada yang membekalkan kira-kira 50 peratus aluminium kepada AS dan mengeksport kira-kira 20 peratus keluli.

Negara lain yang akan terkesan ialah Brazil dan Mexico yang merupakan pembekal utama keluli kepada Washington manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Korea Selatan membekalkan aluminium. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!