AS pertimbang larangan perjalanan baharu terhadap lebih 40 negara - Laporan

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedang mempertimbangkan larangan perjalanan baharu terhadap 43 negara, termasuk kemungkinan menghentikan sementara pemprosesan visa dari Afghanistan, Iran dan Syria, lapor Xinhua yang memetik media tempatan pada Jumaat.
Menurut laporan The New York Times, pegawai diplomatik dan keselamatan AS menyenaraikan negara-negara yang berpotensi dikenakan sekatan dengan tiga kategori larangan berbeza.
Di bawah cadangan baharu itu, larangan penuh kemasukan dicadangkan terhadap 11 negara termasuk Afghanistan, Cuba, Iran, Libya, Somalia, Syria, Venezuela dan Yaman.
Sementara itu, rakyat dari Belarus, Eritrea, Haiti, Laos, Myanmar dan Pakistan, antara lain akan dilarang memasuki AS menggunakan visa imigran atau pelancong.
Bagi negara seperti Angola, Benin dan Kemboja, rakyat mereka akan terjejas sekiranya kerajaan mereka gagal memperbaiki amalan yang dianggap AS sebagai bermasalah dalam tempoh 60 hari, menurut laporan berkenaan.
Senarai itu didakwa telah disediakan oleh Jabatan Negara AS beberapa minggu lalu dan masih boleh mengalami perubahan sebelum dikemukakan kepada Rumah Putih, menurut sumber.
Selepas mengambil alih jawatan pada 20 Januari, Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Jabatan Negara menyenaraikan dalam tempoh 60 hari negara-negara yang sistem saringan dan tapisan keselamatannya dianggap lemah sehingga perlu dikenakan sekatan separa atau penuh terhadap kemasukan warganya ke AS. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!