Bantah ketua kampung kes terpencil: MB Johor

Osman (tengah) sewaktu melawat Bazar Tahun Baharu Cina di Yong Peng.
Osman (tengah) sewaktu melawat Bazar Tahun Baharu Cina di Yong Peng.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Johor menyifatkan beberapa kes bantahan pelantikan ketua kampung oleh penduduk di negeri ini merupakan kes terpencil dan tidak menggambarkan jumlah keseluruhan ketua kampung yang dilantik.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, di Johor, terdapat 1,760 ketua kampung dan hampir 600 ketua masyarakat dan pelantikan juga dibuat mengikut kriteria ditetapkan kerajaan negeri.

"Kita lantik mereka (ketua kampung) ini bukannya secara tangkap muat sahaja kerana sebelum dilantik, mereka perlu melalui temuduga dan penilaian termasuklah tapisan keselamatan oleh lima panel yang dipengerusikan oleh pegawai daerah dan disertai oleh kadi dan penghulu.

"Saya rasa yang komen-komen tidak puas hati mengenai ketua kampung ini hanya orang biasa sahaja dan kalau kita hendak mendengar satu dua ketidakpuashatian ini, saya rasa susahlah kita hendak buat kerja," katanya.

Beliau ditemui semasa melakukan lawatan ke Bazar Tahun Baharu Cina 2019 di Yong Peng Street, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal; Adun Yong Peng, Chew Peck Choo dan Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng, Mohd Hafiz Aliman.

Menurutnya, sekiranya betul penolakan tersebut berlaku, beliau akan memastikan perkara tersebut ditangani secara betul bagi membuktikan kerajaan negeri sentiasa mendengar aduan dan komen yang kurang senang daripada rakyat.

"Di Johor ini boleh dikatakan agak ramai ketua kampung dan sekiranya kita hendak 100 peratus bagus dan cemerlang dalam tempoh masa yang begitu pendek ini saya rasa agak sukar dan berilah peluang kepada mereka untuk buat kerja dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang ada kawasan yang tidak ada orang hendak mohon jawatan ketua kampung ini dan ada juga kawasan sampai 10 permohonan dan saya rasa dalam pendekatan kerajaan yang baharu ini, kalau ada sedikit kelemahan kita kena akui kerana kita masih lagi baharu," katanya.

Sebelum ini penduduk beberapa buah kampung di negeri ini seperti di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan Felda Sungai Mas, Kota Tinggi melakukan bantahan menolak pelantikan ketua kampung di kawasan mereka kerana pelantikan tersebut dibuat tidak mengikut kriteria ditetapkan.