[VIDEO] 'Jangan ingat di darat, laut pun kami gempur' - KPDN

A
A
A

PELABUHAN KLANG - Operasi penguatkuasaan diperluaskan ke semua lokasi termasuk perairan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang terutamanya penyeludupan barang kawalan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, pihaknya akan memastikan tiada ruang untuk mana-mana individu atau sindiket menjalankan aktiviti haram sama ada di darat atau di laut.

Menurutnya, operasi julung kalinya diadakan pada tahun ini menyaksikan enam kapal dan bot diperiksa dalam usaha memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kita beri amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar peraturan terutama sindiket yang terlibat dalam penyeludupan barang kawalan.

"KPDN Selangor akan berada di mana-mana sahaja, sama ada di darat atau di laut, untuk memastikan undang-undang dipatuhi dan tiada pihak yang cuba mengaut keuntungan secara haram," katanya dalam sidang akhbar operasi bersama di Kapal Maritim (KM) Danga di perairan Pelabuhan Klang pada Khamis.

Pegawai KPDN menjalankan pemeriksaan melibatkan dokumen serta barangan termasuk barangan kawalan di sebuah bot yang ditahan.
Pegawai KPDN menjalankan pemeriksaan melibatkan dokumen serta barangan termasuk barangan kawalan di sebuah bot yang ditahan.

Hadir sama Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Tambah beliau, operasi khas ini melibatkan 25 anggota penguat kuasa termasuk 15 anggota KPDN Selangor dan 10 anggota Maritim Negeri Selangor.

"Objektif operasi adalah memberi tumpuan kepada pergerakan kapal bunkering, kapal barter trade dan bot nelayan kelas C yang beroperasi di perairan Pelabuhan Klang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar, dua bot dan sebuah kapal Maritim Malaysia digunakan sepanjang operasi," katanya.

Mohd Khairi berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas enam kapal dan bot dalam tempoh tiga hari ini adalah bukti bahawa pihak berkuasa sentiasa memantau perairan bagi memastikan tiada aktiviti haram berlaku.

"Operasi ini bukan sekadar satu tindakan biasa, tetapi satu isyarat jelas kepada sindiket dan mana-mana pihak yang berniat melanggar undang-undang.

"Kita tidak akan membiarkan sebarang kegiatan penyeludupan berleluasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan," katanya.

Tegas Mohd Khairi, usaha penguatkuasaan ini tidak akan terhenti di sini.

"Kerjasama strategik dengan Maritim Malaysia Selangor akan diteruskan bagi memastikan kawalan perairan dilakukan secara menyeluruh dan efektif.

"Kami ingin tekankan bahawa penguat kuasa KPDN akan sentiasa berada di lapangan, dan operasi ini akan diteruskan secara agresif dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!