Pesara rugi RM342,000 terpedaya pelaburan kasino

Mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan berkenaan sehingga kini. Gambar hiasan
Mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan berkenaan sehingga kini. Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang pesara swasta mengalami kerugian sebanyak RM342,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan kasino yang menjanjikan keuntungan lumayan menerusi aplikasi WhatsApp.

Mangsa lelaki berusia 66 tahun itu dikatakan mula menerima mesej daripada individu tidak dikenali pada Ogos lalu yang meminta bantuan kewangan atas alasan mengalami kerugian dalam sebuah syarikat keselamatan siber kasino di Singapura.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, individu terbabit kemudian memperkenalkan tawaran pelaburan kasino kepada mangsa sehingga menyebabkan lelaki itu berminat untuk menyertainya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi pembayaran pelaburan berjumlah keseluruhan RM342,000 ke dalam lima akaun bank.

"Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan berkenaan sehingga kini.

"Mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu menerusi pelaburan tidak wujud kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!