PDRM perkukuh keselamatan siber negara

KULIM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan siber susulan perkembangan konflik antarabangsa yang berkemungkinan memberi kesan kepada negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, arahan sudah diberikan supaya semua aspek berkaitan keselamatan siber diberi perhatian serius bagi memastikan tahap kesiapsiagaan negara sentiasa terpelihara.
Menurutnya, persiapan menghadapi ancaman berkenaan dilakukan secara berterusan bagi memastikan sebarang risiko dapat ditangani dengan lebih berkesan.
"Jadi, di negara kita ini, persiapan memang kita lakukan dari semasa ke semasa. Arahan juga telah diberikan untuk kita memastikan segala perkara yang berkaitan dengan isu ancaman siber ini diberi perhatian serius," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Program Semarak Kebudayaan PDRM Kedah di Kompleks Sukan KHTP di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, situasi keselamatan negara ketika ini masih terkawal.
"Alhamdulillah, kita berada dalam suasana yang terkawal dan selamat, memang kita dapat maklumat-maklumat daripada luar negara yang menyatakan bahawa ancaman siber ini berlaku dengan keadaan sekarang yang begitu tidak teratur akibat peperangan di antara Iran dan juga Amerika Syarikat," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Program Semarak Masyarakat Bersama-sama PDRM menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan antara polis dengan masyarakat.
"Melalui kerjasama ini kita anggap bahawa rakyat dan polis berpisah tiada... jadi, banyak maklumat-maklumat yang boleh kita kongsikan bersama bagi mencegah berlakunya jenayah," katanya.
Jelas beliau, program yang berlangsung selama empat hari itu dijangka menarik kehadiran 10,000 pengunjung dengan pelbagai acara menarik disediakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

