'Pengganas' ceroboh, tawan Pelabuhan Klang guna senjata kimia

KLANG - Sekumpulan 'pengganas' bertindak menyerang dan cuba menawan pusat perhubungan komunikasi di Pelabuhan Utara pada awal pagi Khamis.
Musuh yang bersenjata kimia turut menjadikan orang awam sebagai tebusan.
Dalam kejadian pada jam 8.50 pagi itu, beberapa letupan bom telah dilakukan sebagai sebahagian daripada demonstrasi letupan terkawal.

Letupan ini digunakan untuk membuka laluan strategik serta menghapuskan ancaman tertentu.
Dengan kawalan rapi dan kepakaran pasukan bahan letupan, operasi ini dilaksanakan dengan penuh ketelitian tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Kejadian berlaku berdekatan kawasan kapal berlabuh dan penempatan kargo itu telah mengundang situasi cemas kepada petugas pelabuhan.

Bagaimanapun tindakan jenayah tersebut berjaya dipatahkan oleh pasukan 21 Grup Gerak Khas (21 GGK), 12 Skn RAJD (CBRNe) dan Tim Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut dibantu oleh Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Pasukan Khas Tentera Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU) dan Canadian Special Operation Force Command (CANSOFCOM) yang bertindak pantas menangani situasi tidak diduga tersebut.
Operasi menyelamat yang mendapat sokongan kawalan udara turut dibantu oleh sebuah helikopter Agusta A109 LOH daripada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Dengan koordinasi yang rapi, pasukan penyelamat berjaya membawa keluar tebusan dengan selamat pada jam 9.02 pagi.
Malah kumpulan pengganas juga ditumpaskan dan diberkas pihak petugas keselamatan negara.
Operasi menyelamat akhirnya selesai jam 9.05 pagi dan situasi di Pelabuhan Utara disahkan selamat.

Namun semua senario tersebut hanyalah satu demonstrasi yang dilaksanakan sempena Exercise Mantis Siri 11/2025 di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK).
Ia sebagai langkah persediaan pasukan keselamatan negara dalam menghadapi sebarang ancaman keganasan.
Sementara itu, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (AKS OPLAT), Mejar Jeneral Dato' Rashidin Hashimi bin Abdul Rashid berkata, konsep peperangan masa kini tidak hanya melibatkan peperangan konvensional tetapi dalam masa sama menangani pelbagai ancaman termasuk pengganas serta penggunaan ejen kimia, biologi, radiologi, nuklear dan letupan (CBRNe).
Beliau berkata, Eksesais Mantis merupakan medium terbaik melatih dan menguji kompetensi negara dalam menangani ancaman pengganas yang menggunakan CBRNe.
"Peluang melaksanakan eksesais ini diharap dapat digunakan sepenuhnya untuk memahirkan diri dengan prosedur menangani ancaman dalam persekitaran membabitkan CBRNe.
"Peluang ini digunakan untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran serta menggunakan peralatan terkini dari negara yang lebih berpengalaman dan menjadikan negara lebih kompeten menangani situasi seumpama ini," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Eksesais Mantis Siri 11/2025 di Pelabuhan Utara, di sini.
Hadir sama Penasihat Politik Kanan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Robert Bissett; Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn Bhd merangkap Pegawai Memerintah 40 Rejimen Pakar Pelabuhan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah), Leftenan Kolonel Datuk Azman Shah Mohd Yusof serta Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Zaraiha Awang.
Rashidin berkata, kombinasi latihan melibatkan kepakaran dari unit yang berbeza dari dalam dan luar negara adalah sejajar dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 terutama dalam Pemerkasaan Sumber Manusia, Gagasan Tentera dan Rakyat, seterusnya memantapkan Anjakan Diplomasi Pertahanan.
Menurut beliau lagi, penglibatan pelbagai agensi awam dalam eksesais seumpama itu telah membawa banyak manfaat kepada negara.
Jelasnya, kerjasama seumpama itu dapat memperkuatkan lagi usaha TDM mencapai aspirasi 'Whole of Government and Whole of Society (WOGOS), seterusnya membuktikan bahawa ia bukan sekadar retorik semata-mata.

"Ia membuktikan betapa pentingnya penyelarasan dan kesepaduan dalam pelbagai agensi untuk mencapai matlamat pertahanan negara secara bersama," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!