Tiga generasi teruskan tradisi buat lemang Kampung Lepan Jenut

KUALA KRAI - Tiga generasi pembuat lemang di Kampung Lepan Jenut di sini masih meneruskan tradisi menghasilkan lemang terbaik, terutama menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Bainah Awang Long, 69, yang telah membuat lemang selama lebih 30 tahun kini mewariskan resipi turun-temurun kepada anaknya, Sariwati Yaakob, 48, serta cucunya, Syarina Mazri, 25.
Menjelang seminggu sebelum Aidilfitri, mereka tidak menang tangan menerima tempahan daripada pelanggan.
Menurut Bainah, selain anaknya, menantu beliau juga berkebolehan dalam penyediaan juadah tradisi yang menjadi kegemaran ramai pada musim perayaan.
"Alhamdulillah, masing-masing kini sudah membuka gerai lemang sendiri setelah beberapa tahun membantu saya membuat dan menjual lemang," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa perubahan zaman menyebabkan harga lemang semakin meningkat ekoran kos bahan mentah yang semakin tinggi serta perubahan dalam penggunaan peralatan membakar.
"Saya mula membuat lemang ketika harganya hanya RM2 sebatang, tetapi kini mencecah RM20 untuk tiga batang kerana kesukaran mendapatkan bekalan selain peningkatan harga setiap tahun," katanya.
Sementara itu, Sariwati bersyukur kerana kemahiran membuat lemang yang dipelajari daripada ibunya dapat menjana pendapatan buat keluarganya.
"Walaupun harga terpaksa dinaikkan, saya masih mempunyai pelanggan tetap yang memahami situasi ini.
"Setiap tahun, saya mampu menyediakan lebih 2,000 batang lemang untuk pelanggan yang singgah membeli di gerai," katanya.
Bagi Syarina, perniagaan lemang kini tidak lagi memberikan keuntungan seperti ketika beliau membantu neneknya dahulu, berikutan kenaikan harga bahan mentah.
"Alhamdulillah, pada musim perayaan, pendapatan lebih tinggi berbanding hari biasa, yang kadang-kadang hanya beberapa batang sahaja terjual," katanya.
Menurutnya, kos penyediaan lemang semakin meningkat, termasuk harga buluh yang sudah dipotong sepanjang kira-kira 30 sentimeter (cm) yang dijual pada harga 50 sen sebatang, seberkas kayu api bernilai RM50 yang hanya cukup untuk membakar empat kilogram (kg) lemang, serta RM10 bagi 35 helai daun pisang.
"Semua ini belum termasuk kenaikan harga beras pulut dan santan yang sering berlaku menjelang Aidilfitri.
"Ada pelanggan yang kurang memahami kos yang kami tanggung, tetapi ramai juga yang menerima hakikat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
