Pemimpin mesra BN, Kerajaan Perpaduan dijangka dominasi CEC

Barisan kepimpinan lebih mesra dengan Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan dijangka mendominasi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sekiranya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dipilih semula dalam pemilihan parti. Gambar kecil dari kiri: Awang Azman, James, Tengku Zulpuri
Barisan kepimpinan lebih mesra dengan Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan dijangka mendominasi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sekiranya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dipilih semula dalam pemilihan parti. Gambar kecil dari kiri: Awang Azman, James, Tengku Zulpuri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Barisan kepimpinan lebih mesra dengan Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan dijangka mendominasi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sekiranya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dipilih semula dalam pemilihan parti berkenaan pada Ahad.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pemilihan DAP kali ini dilihat sebagai platform pemimpin muda untuk menonjol dan mengambil peranan dalam parti, lebih-lebih lagi setelah beberapa pemimpin berpengaruh membuat keputusan tidak bertanding.

Menurutnya, Pengerusi DAP Lim Guang Eng serta beberapa pemimpin sekutunya juga dijangka terkesan sekiranya berlaku rombakan ‘berani dan besar’.

“Pemimpin yang dianggap ‘orang’ Lim Guan Eng (akan terkesan)...mereka nak buat supaya DAP dilihat mesra BN, Kerajaan Perpaduan.

“Ini supaya tidak timbul isu-isu yang menjejaskan kestabilan politik, hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Itu yang dia (Anthony) mahu lakukan untuk memastikan kerajaan ini terus berada pada landasan yang betul sehingga untuk persediaan pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Jumaat, Anthony dilapor berkata, satu rombakan yang besar dan bersifat berani bagi CEC akan dilakukan jika beliau dipilih semula dalam pemilihan parti.

Katanya, pihaknya berhasrat melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap CEC bagi membolehkan pemimpin berbeza mengambil alih peranan baharu.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan itu menegaskan, beliau tidak menyasarkan kepada mana-mana individu atau kedudukan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Awang Azman berkata, pendekatan yang bakal dilakukan oleh kumpulan Anthony dilihat lebih seimbang sekali gus mampu ‘menyelamatkan’ DAP daripada kemungkinan menerima nasib sama dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

“Pendekatan dilakukan kumpulan Anthony lebih moderate, pendekatan diterima orang Cina. Mereka tak nak sesuatu kurang moderat dari segi hubungan dengan parti-parti Melayu.

“Kepimpinan Anthony atau orang-orangnya seperti Steven Sim yang dilihat begitu moderate dan ini bentuk kepimpinan yang diterima,” katanya.

Penganalisis politik, Profesor Dr James Chin pula berpandangan, sebarang keputusan dalam pemilihan DAP tidak akan melemahkan sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu kerana ia hanyalah pemilihan untuk melihat arah tuju DAP untuk sepuluh tahun akan datang dan juga tahap pengaruh keluarga Lim.

“Pada dasarnya, ia pertarungan generasi antara golongan muda DAP yang mempunyai pandangan politik yang sangat berbeza dengan keluarga Lim selaku wakil DAP yang lebih veteran.

“Jadi walaupun parti menghadapi pemilihan sukar, masyarakat Cina tidak akan meninggalkan DAP dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, sebarang cadangan baharu yang baik dan mendemokrasikan parti amat dialu-alukan, namun kerangkanya perlu dinyatakan dengan jelas.

Kerana itu tegasnya, hala tuju parti perlu terletak kepada prinsip displin akar umbi supaya pemimpin yang dilantik tidak membuat keputusan hanya menjaga kerajaan semasa tanpa memikirkan kesan kepada parti dalam jangka masa yang panjang.

“Ia mestilah memfokuskan masa depan parti itu sendiri sama ada menuju ke belakang dan akhirnya berkubur atau terus relevan dan dapat diterima semua lapisan masyarakat majmuk di negara kita yang tercinta ini.

“Mesti ada semak dan imbang dalam parti yang mengamalkan sistem sosial demokrasi ini.

“Memang betul, pemimpin boleh bertukar ganti tapi keutuhan parti itu adalah yang lebih penting untuk terus relevan walaupun terpaksa jadi pembangkang,” katanya.

Seramai 70 calon akan bertanding bagi merebut jawatan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18, pada Ahad.

Selain Anthony, antara nama besar akan bertanding merebut jawatan CEC termasuklah Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Steven.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!