Belanja online jadi kegilaan, kedai fizikal sengsara

TREND pembelian dalam talian yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia ketika ini pastinya memberi impak besar kepada kedai fizikal mahu pun pasar raya.
Fenomena ini bukan sekadar perubahan tabiat membeli-belah, tetapi juga cabaran serius terhadap daya tahan peruncit tradisional dalam mengekalkan kelangsungan perniagaan masing-masing.
Ia dibuktikan apabila data diberikan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan sebanyak 70.6 peratus penduduk negara ini membuat aktiviti pembelian barangan dan perkhidmatan melalui platform e-dagang bagi tempoh sepanjang tahun 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peratusan itu meningkat sekitar 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, 70.4 peratus, dan 64.7 peratus pada 2021.
Menurutnya, statistik itu diukur menerusi Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah (ICTHS) yang dijalankan jabatan berkenaan.
Berdasarkan statistik ini, jelas menunjukkan perniagaan kedai fizikal berdepan cabaran hebat untuk bersaing dengan pembelian kaedah online yang semakin menjadi pilihan masa kini.
Perubahan dalam tabiat perbelanjaan pengguna menunjukkan bahawa peruncit fizikal yang tidak beradaptasi dengan e-dagang akan menghadapi kesukaran untuk bertahan.
Sehubungan itu, pasar raya dan kedai fizikal yang ingin terus relevan perlu berubah dan berinovasi dengan memperkenalkan elemen digital dalam operasi mereka dan menawarkan nilai tambah yang tidak dapat diberikan oleh perniagaan dalam talian.
Misalnya, pasar raya dan kedai fizikal perlu menggabungkan pengalaman membeli-belah dalam talian dan luar talian dengan menyediakan platform e-dagang sendiri atau bekerjasama platform sedia ada seperti Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.
Kedai fizikal juga boleh menarik pelanggan dengan menawarkan pengalaman membeli-belah yang tidak dapat diperoleh secara dalam talian seperti demonstrasi produk, sesi mencuba barangan dan perkhidmatan pelanggan yang lebih personal.
Dalam dunia perniagaan moden, yang bertahan bukanlah yang paling besar, tetapi yang paling pantas menyesuaikan diri dengan arus perubahan termasuklah apabila perlu menggunakan platform e-dagang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!