Rakyat Malaysia belanja RM1,735 sebulan, bagus untuk ekonomi

SHAH ALAM - Setiap rakyat Malaysia dianggarkan berbelanja RM1,735 sebulan atau kira-kira RM58 sehari untuk pembelian dalam talian, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Menurutnya, anggaran tersebut berdasarkan data DOSM pada 2024 yang menunjukkan pertumbuhan perbelanjaan e-dagang dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 15.4 peratus setahun.
“Jika kita mengambil angka pertumbuhan ini, perbelanjaan rakyat Malaysia di dalam platform e-dagang adalah sekitar RM707.9 bilion pada tahun 2024 atau bersamaan 36.7 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ini bererti lebih satu pertiga daripada KDNK negara adalah terdiri daripada perbelanjaan e-dagang dan nisbah ini adalah tinggi jika dibandingkan pada tahun 2015 iaitu 16.6 peratus.
“Daripada angka RM707.9 bilion tersebut, jika bahagikan dengan jumlah populasi rakyat Malaysia yang berjumlah 34 juta pada tahun 2024, perbelanjaan e-dagang per kapita setahun adalah RM20,820 atau bersamaan RM1,735 sebulan atau RM57.83 sehari,” katanya.
Beliau menjelaskan, secara logiknya jumlah perbelanjaan dalam talian oleh rakyat Malaysia kian meningkat dan ia memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, ia akan memberi banyak pilihan kepada para pembeli selain menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan dengan adanya cukai barangan nilai rendah (LVG) yang membantu usaha kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan.
“Ini sekali gus akan memanfaatkan rakyat Malaysia kerana kerajaan akan berupaya memberi lebih banyak bantuan.
“Namun, tidak dinafikan ia akan memberi kesan kepada persaingan yang sengit kepada para peniaga tempatan.
“Di sini para peniaga perlu sentiasa cakna untuk memperbaiki mutu barangan serta memikirkan strategi pasaran yg lebih berkesan serta melihat struktur kos perniagaan agar margin keuntungan kekal sihat,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan pengguna untuk mengutamakan disiplin kewangan bagi mengelakkan pembaziran dan hutang yang tidak terkawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!