Pegang amanah arwah adik jaga tiga anak saudara

PASIR MAS - "Tiga anak saudara ini merupakan amanah dan saya akan menjaganya sehingga mereka mampu berdikari."
Demikian kata seorang jurukimpal, Abd Hadi Abdullah, 54, mengenai tiga anak saudaranya yang kini menjadi anak yatim selepas ibu mereka meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim pada 29 Januari lalu.
Menurut Abd Hadi, kesemua anak saudaranya, Muhammad Farhan Danial Abdul Mu'iz, 8; Nurfarhana Nasuha Abdul Mu'iz, 9; dan Nurfarisya Nasuha Abdul Mu'iz, 11, kini berada dalam jagaannya bersama seorang lagi adiknya, Abdul Aziz Abdullah, 47.
Abd Hadi berjanji akan sentiasa memegang pesanan adiknya, Allahyarham Norazah Abdullah, supaya menjaga ketiga-tiga anaknya itu.
"Saya akan tetap menjaga ketiga-tiga mereka yang merupakan amanah arwah," katanya ketika ditemui di Kampung Aur Cina pada Sabtu.

Abd Hadi dan Abdul Aziz berusaha menguruskan kesemua dokumen persekolahan tiga anak saudara mereka selepas tertangguh kira-kira empat bulan.
Katanya lagi, hasratnya adalah untuk memastikan anak saudaranya itu menerima pendidikan yang baik sebelum mereka dapat berdikari.
"Walaupun ada kalanya saya mengalami kekangan kewangan, saya tetap berusaha untuk memastikan mereka cukup berbelanja ketika di sekolah," katanya lagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita yang menderita kanser pangkal rahim, Norazah Abdullah dari Kampung Aur Cina, meninggal dunia pada 29 Januari lalu.
Berkongsi kisah adiknya itu, Abd Hadi berkata, Allahyarham sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Johor dan merayu ahli keluarga mengambilnya di sana kerana tidak lagi mampu bekerja.
"Kami membawa Norazah pulang bersama tiga anaknya pada September tahun lalu sebelum keadaannya menjadi tenat dan terlantar pada November," katanya.
Dalam pada itu, ketika memikirkan nasib tiga anak saudaranya, Abd Hadi turut berharap ada bantuan yang membolehkan rumahnya yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu dapat disiapkan.
Jelasnya, rumah kecilnya itu sekurang-kurangnya mampu menjadi tempat berteduh mereka sekeluarga yang kini menumpang di rumah pusaka milik ahli keluarga.
"Pendapatan bulanan tidak menentu menyebabkan pembinaan rumah yang hanya beberapa meter dari rumah pusaka ini tidak dapat disiapkan," katanya.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menghubungi Abd Hadi di talian 0167917097 atau menyumbang melalui akaun 0114829000044654 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Abd Hadi Abdullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
