Lelaki cederakan pelajar: Caprice kongsi video individu sama tampar kanak-kanak

SHAH ALAM - Penyanyi rap, Caprice memuat naik satu video berhubung kejadian lelaki sama yang tular baru-baru ini kerana mencederakan seorang pelajar Tingkatan Lima hingga mengalami keretakan tulang hidung.
Video menerusi perkongsian di Instagram miliknya itu menunjukkan individu berkenaan menampar dua kanak-kanak di sebuah kawasan perumahan.
Lelaki itu pada awalnya dilihat menghentikan kenderaan di satu kediaman di mana dia bertanyakan beberapa soalan kepada kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, lelaki tersebut dipercayai bertindak ganas dan menampar kanak-kanak berkenaan sebelum mengarahkan mereka pulang ke kediaman masing-masing.
Video melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian di kawasan perumahan itu dipercayai berlaku pada Mac tahun lalu.
Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli turut menunjukkan tangkap layar perbualan lelaki berkenaan yang memintanya supaya menurunkan hantaran berkaitan kejadian tersebut.
Bagaimanapun Caprice dengan ringkas membalas permohonan tersebut dengan mengatakan dia tidak akan berbuat demikian.
Pada Jumaat, seorang pelajar Tingkatan Lima cedera selepas ditumbuk oleh seorang lelaki tidak dikenali dan mengalami keretakan tulang hidung akibat salah faham di persimpangan jalan berhampiran Saujana Impian, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang pada Jumaat itu menyebabkan mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang.
“Siasatan awal mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu dan pihak polis telah mengeluarkan saman berhubung kesalahan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Naazron, polis telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun sekitar jam 9.50 malam pada hari yang sama, selepas menerima laporan daripada mangsa.
Katanya, siasatan dijalankan ke atas penasihat agensi pelancongan itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
“Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

