Program agama perlu fleksibel, kreatif

SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan penganjur program keagamaan agar lebih fleksibel dan kreatif seperti menggunakan pendekatan berkala serta interaktif untuk menarik kehadiran anak muda menyertainya.
Presidennya, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, generasi Alfa lebih cenderung menggunakan media sosial kerana ia lebih interaktif dan menghiburkan.
“Hakikatnya anak muda masih minat program agama tetapi hanya yang tidak membosankan dan tidak terlalu padat.
“Kajian daripada buku New Power New Movement menunjukkan bahawa generasi kini tidak suka program panjang, sebaliknya mereka lebih suka sesi pendek tetapi konsisten,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau bagaimanapun berpandangan, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anak muda lebih tertarik kepada hiburan berbanding program keagamaan khususnya ia memerlukan tumpuan sepenuhnya untuk memahami isi kandungan program.
“Hiburan menawarkan kepuasan segera seperti konsert, media sosial dan aktiviti moden yang interaktif manakala program agama pula memerlukan tumpuan dan usaha untuk memahami isi kandungan menyebabkan ia kurang menarik bagi sesetengah anak muda.
“Selain itu, terdapat persepsi bahawa program keagamaan adalah membosankan kerana banyak kuliah agama disampaikan dalam bentuk satu hala yang kurang interaktif,” kata beliau.
Menurutnya, program agama yang terlalu formal dan berat sukar menarik perhatian, sedangkan anak muda lebih cenderung kepada perbincangan santai, terbuka dan dua hala.
“Jika program bersifat terlalu formal, berat ataupun tidak berkait rapat dengan cabaran kehidupan mereka, maka ia sukar untuk hendak tarik perhatian anak muda kini.
Muhammad Dzul Aiman berkata, beliau mendapati ada anak muda takut untuk menyertai program keagamaan hanya disebabkan stigma dan risau dilabel.
Justeru, beliau berpendapat dakwah dalam bentuk hiburan boleh menarik minat anak muda asalkan tidak mengorbankan nilai syariah.
“Pendakwah pada zaman sekarang perlu menggabungkan pendekatan konvensional dengan pendekatan baharu untuk menarik generasi muda.
“Jadi, pendakwah perlu memahami perubahan trend dan mencari kaedah baharu untuk menarik minat generasi muda, pada masa sama perlu ada keseimbangan antara hiburan dan dakwah untuk menarik perhatian anak muda kepada agama,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara cara untuk menghapuskan stigma bahawa program keagamaan hanya untuk orang baik-baik dengan mengubah naratif dakwah bahawa Islam adalah rahmatan lil ‘alamin.
“Dakwah harus menekankan konsep rahmah dan kasih sayang dalam Islam, sekali gus konsep ihsan perlu difahami agar masyarakat lebih menghayati kasih sayang tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.
Muhammad Dzul Aiman menyarankan, penganjur ataupun mana-mana pihak menggunakan bahasa yang tidak menghukum dan penceramah dan pendakwah yang lebih relevan untuk menarik kehadiran anak muda.
“Antara lain, masjid dan program agama harus diwujudkan sebagai ruang selamat yang inklusif manakala media sosial harus dimanfaatkan sebagai medan untuk menormalisasikan dakwah,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

