RUU PSB: Pastikan rakyat untung

AHLI-ahli Parlimen pembangkang telah membangkitkan kebimbangan mereka mengenai rancangan untuk mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB).
Menurut mereka RUU PSB akan menyebabkan orang Melayu terutama yang tinggal di bandar-bandar besar akan dipinggirkan.
Mereka juga membangkitkan tentang nilai ambang persetujuan yang diturunkan dari 100 peratus kepada 80 hingga 90 peratus.
Ambang persetujuan bermaksud bilangan penduduk yang menyatakan persetujuan mereka supaya kediaman terbabit diambil untuk dimajukan semula.
Berdasarkan garis panduan yang dibuat sebelum ini, pemaju memerlukan persetujuan 100 peratus daripada penduduk dan keadaan tersebut sukar untuk dicapai.
Ia sekali gus menyebabkan hasrat untuk membangunkan semula kediaman usang sukar dilakukan dan mengambil masa yang cukup lama.
Secara dasarnya, hasrat kerajaan untuk mewujudkan RUU PSB ini baik kerana sampai bila kita hendak melihat rakyat duduk dalam persekitaran yang kotor, buruk, daif dan sesak.
Lebih malang, keadaan tersebut berterusan hingga kepada generasi yang seterusnya.
Jadi apa pilihan yang kita ada untuk tingkatkan taraf hidup golongan yang tinggal di kawasan perumahan yang serba daif itu?
Jika kerajaan membina kawasan perumahan baharu atau penempatan semula di kawasan lain, nanti timbul pula tuduhan sesetengah pihak bahawa terdapat agenda untuk menyisihkan kaum tertentu dari kawasan bandar.
Sementara itu difahamkan kerajaan akan menggunakan model pembangunan semula Razak Mansion yang dilaksanakan pada tahun 2017.
Razak Mansion ialah rumah pangsa yang dibina pada tahun 1961 dan menjadi bangunan usang dan berhadapan banyak masalah selepas 56 tahun dibina.
Seramai 557 pemilik asal telah diberikan rumah baharu tanpa sebarang kos sementara penyewa yang sudah lama tinggal di kawasan itu pula diberikan pilihan untuk membeli kediaman tersebut pada harga RM42,000 sahaja.
Mereka juga terus kekal tinggal di situ dan tiada siapa yang dipinggirkan atau dipindahkan ke kawasan lain.
Cuma yang menjadi cabaran ialah kebanyakan daripada penduduk asal terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
Walaupun mendapat kediaman baharu secara percuma, kos yang perlu mereka tanggung ialah yuran penyelenggaraan yang lebih tinggi. Ini adalah satu cabaran yang perlu kerajaan lihat apabila RUU PSB dibentangkan tidak lama lagi.
Namun kediaman bercampur dengan lot komersial itu turut menempatkan pelbagai premis perniagaan dan ia telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru kepada penduduk.
Mungkin bagi penduduk yang sudah berusia tidak lagi dapat bekerja namun sekurang-kurangnya ia dapat menyediakan peluang kepada anak-anak mereka.
Selain itu, perkara yang perlu difikirkan ialah bagaimana jika sesuatu projek yang telah dipersetujui oleh penduduk itu terbengkalai ?
Jika ini berlaku ia akan menyebabkan hasrat penduduk asal memiliki rumah baharu tidak kesampaian.
Pada masa ini, kerajaan masih lagi dalam proses untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai RUU PSB.
Jadi gunakanlah ruang dan peluang untuk memastikan pelaksanaannya menguntungkan semua pihak yang terlibat.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberikan jaminan tiada hak dan tanah rizab Melayu akan dirampas atau diusir.
Malah RUU PSB juga tidak akan mengenepikan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, serta prinsip perundangan sedia ada.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan RUU itu tidak akan memindahkan pemilik asal hartanah, selain komposisi etnik dan status tanah sama ada rizab Melayu, milik kerajaan atau tetap.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
