KPDN Perak siasat pembekal, sita lebih 16,000 liter diesel

Pegawai penguat kuasa KPDN Perak memeriksa tangki yang mengandungi cecair dipercayai minyak diesel bersubsidi dalam Ops Tiris 2025 di sebuah premis di Pantai Remis pada Khamis.
Pegawai penguat kuasa KPDN Perak memeriksa tangki yang mengandungi cecair dipercayai minyak diesel bersubsidi dalam Ops Tiris 2025 di sebuah premis di Pantai Remis pada Khamis.
A
A
A

MANJUNG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita lebih 16,000 liter minyak diesel dalam Ops Tiris 2025 di sebuah premis di Pantai Remis di sini, pada Khamis.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi yang dilaksanakan sepasukan penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung jam 3 pagi itu dilakukan hasil risikan selama seminggu ke atas sebuah syarikat pemborong minyak diesel di kawasan tersebut.

Menurutnya, penguat kuasa telah melakukan penjejakan ke atas sebuah lori tangki yang membawa kepada penemuan sebuah tempat perlombongan pasir.

Pegawai penguat kuasa KPDN Perak menyita barang-barang yang dirampas dalam Ops Tiris 2025 di sebuah premis di Pantai Remis pada Khamis.
Pegawai penguat kuasa KPDN Perak menyita barang-barang yang dirampas dalam Ops Tiris 2025 di sebuah premis di Pantai Remis pada Khamis.

“Pasukan serbuan telah melakukan pemeriksaan dan mendapati premis tersebut adalah sebuah tempat melombong pasir silica yang mempunyai tempat menyimpan minyak diesel dengan permit yang sah.

"Siasatan lanjut mendapati syarikat pembekal telah menjual minyak diesel melebihi had yang dibenarkan di dalam permit menyimpan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamalludin berkata, dalam serbuan itu sebanyak 16,380 liter cecair disyaki minyak diesel ditemui di dalam tangki di lokasi berkenaan manakala sebuah lori tangki turut disita.

Katanya, nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM192,208.80 termasuk kesemua minyak diesel yang ditemui.

Jelasnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974, iaitu melanggar had dan syarat-syarat permit yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat pembekal minyak diesel juga akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual barang kawalan melebihi kuantiti yang dibenarkan.

Katanya, jika sabit kesalahan, syarikat tersebut boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Menurutnya, KPDN Perak memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Kamalludin juga menggesa masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi kepada KPDN melalui saluran yang disediakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!