Jual kuih raya tujuh balang RM100

Noraliza menunjukkan kuih raya yang dijual tujuh balang pada harga RM100.
Noraliza menunjukkan kuih raya yang dijual tujuh balang pada harga RM100.
A
A
A

KUANTAN – Seorang peniaga kuih berani menawarkan harga rendah dengan pakej tujuh balang kuih raya pada harga RM100 sebagai usaha memastikan lebih ramai dapat menikmati kuih tersebut.

Pengusaha kuih raya, Noraliza Kamaruddin, 44, berkata, harga pasaran kuih raya yang semakin mahal menyebabkan ramai pelanggan berfikir dua kali sebelum membeli.

Menurutnya, langkah itu bukan sekadar untuk berniaga, tetapi juga sebagai satu cara untuk berkongsi rezeki.

"Saya sedar ramai yang mahu membeli kuih raya, tetapi harga pasaran agak tinggi. Namun, bagi saya, kuantiti bukan ukuran, tetapi keikhlasan dalam memberi dan setidak-tidaknya dapat menggembirakan insan lain.

"Jadi, saya cuba beri pilihan mampu beli, iaitu biskut premium kelas pertengahan supaya semua orang boleh merasa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di bengkel pembuatan kuih raya miliknya di Seberang Balok, pada Jumaat.

Selain pakej tujuh balang RM100, ibu kepada lima anak itu menawarkan harga istimewa kepada agensi kerajaan, syarikat swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin mengedarkan kuih raya kepada golongan asnaf.

"Kami tawarkan harga RM10 sebalang untuk pembelian 100 balang ke atas. Setiap balang mengandungi antara 25 hingga 28 biji kuih, bergantung kepada jenis," katanya yang mempunyai 23 pekerja terdiri daripada ibu tunggal dan golongan asnaf.

Bercerita lanjut, Noraliza berkata, sebanyak 52 jenis kuih raya ditawarkan, termasuk kuih tradisional yang semakin sukar ditemui di pasaran.

Ujarnya, antara kuih yang disediakan ialah seroja, biskut sampan buah, semprit klasik, dan bangkit, yang dibuat secara manual tanpa menggunakan mesin.

Artikel Berkaitan:

Noraliza menambah, pada tahun lalu, jualan kuih raya tersebut mencecah 17,000 balang. Namun, kali ini, permintaan semakin meningkat dengan lebih 20,000 balang.

"Kuih tradisional seperti seroja menjadi kegemaran pelanggan, malah ada yang datang dari Kuala Lumpur, Terengganu, dan Singapura semata-mata untuk mendapatkannya," katanya.

Mengulas mengenai kenaikan kos bahan mentah, Noraliza berkata, pihaknya tetap berusaha mengekalkan harga seperti tahun lalu, iaitu antara RM20 hingga RM30 sebekas, dengan setiap balang mengandungi 28 hingga 37 biji kuih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!