Perintah papar harga ubat bukan untuk kawal harga - Armizan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan perintah untuk mewajibkan premis perkhidmatan dan jualan produk kesihatan memaparkan harga bukan untuk mengawal harga.
Sebaliknya Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan, ia hanya bertujuan untuk memberi pilihan kepada pengguna sebelum membuat keputusan.
"Rakyat bayar harga ubat dan perkhidmatan perubatan, jadi kita (rakyat) mempunyai hak untuk mendapat maklumat tentang apa yang dibayar," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pemaparan harga ubat akan dikuatkuasa pada 1 Mei depan dilaksana melalui perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).
"Saya berharap semua pihak tidak mengalih isu ini kepada perkara lain. Isu seperti kadar konsultasi dan lain-lain boleh ditangani secara berasingan namun, tanggungjawab untuk memaparkan harga ubat adalah perkara asas yang perlu dilaksanakan demi kepentingan pengguna serta ketelusan dalam industri perubatan," jelasnya.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan meneliti isu dibangkitkan persatuan itu termasuk dari aspek perundangan berkait pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta, sebelum ia dilaksanakan.
Mereka menyuarakan kebimbangan megenai peruntukan undang-undang bawah AKHAP yang menjadi asas untuk pelaksanaan pemaparan harga ubat berkenaan.
Seksyen 10 AKHAP memperuntukkan kuasa menteri menghendaki barang atau perkhidmatan ditanda dengan harga.
Sementara itu, Armizan berkata, mekanisma pemaparan harga ubat di semua kemudahan jagaan kesihatan dan farmasi telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Oktober 2023 dan disusuli pembentangan Memorandum Jemaah Menteri Bersama KPDN pada 8 Januari lalu.
Menurutnya, mekanisma pemaparan harga ubat dan perkhidmatan kesihatan ini sejajar dengan hak universal pengguna iaitu untuk mendapatkan maklumat dan hak memilih.
"Saya berharap semua pihak memahami rasional kerajaan dalam memutuskan mekanisma ketelusan harga ubat ini yang bertujuan menangani isu kos sara hidup dan cabaran inflasi perubatan di negara kita yang diunjurkan pada 15 peratus, jauh lebih tinggi berbanding purata Asia Pasifik (10 peratus) dan global (11 peratus)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

