Berbuka puasa bersama eratkan silaturahim

Lebih 1,300 pengunjung memeriahkan Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang berlangsung di lokasi keenam di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam pada Khamis.
Lebih 1,300 pengunjung memeriahkan Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang berlangsung di lokasi keenam di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang berlangsung di lokasi keenam di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam, di sini mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai yang hadir untuk berbuka puasa bersama.

Lebih 1,300 orang pengunjung mula mengambil tempat dalam acara yang kali kedua diadakan di pasar raya berkenaan sejak jam 5 petang.

No Image Caption

Bagi Nur Aini Zulkifly, 34, yang merupakan pembaca setia Sinar Harian, ini merupakan pengalaman pertamanya menghadiri program berbuka puasa secara beramai-ramai.

Menurutnya, dia mengetahui tentang program ini daripada Facebook Sinar Harian dan tertarik untuk datang kerana ingin merasai suasana berbuka puasa bersama keluarga dan ramai orang.

"Memang meriah dan menyeronokkan kerana melalui program seperti ini kita dapat eratkan silaturahim serta menyaksikan banyak aktiviti yang diadakan.

"Semestinya kanak-kanak yang paling gembira kerana setiap seorang mendapat pelbagai barangan percuma yang diberikan oleh pihak penaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Khamis.

Nur Aini berharap program ini diteruskan pada tahun hadapan kerana ia bukan sahaja memberi peluang untuk beramal, tetapi juga mengimarahkan lagi bulan Ramadan.

Bagi Mashadi Rozalley, 40, yang datang bersama isteri dan dua anaknya dari Nibong Tebal, ini merupakan kali kedua mereka menyertai program ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jelajah iftar kali ini lebih meriah dengan sambutan orang ramai daripada pelbagai kaum yang mengambil bahagian.

"Saya dan keluarga turut serta pada jelajah iftar tahun lepas, dan tahun ini nampak lebih meriah. Apa yang menarik adalah kehadiran masyarakat berbilang kaum, yang menunjukkan perpaduan kita masih kuat.

"Meskipun ramai yang hadir namun tempat yang disediakan untuk pengunjung makan bersila beramai-ramai selesa, termasuk kepada golongan orang tua dan kanak-kanak," katanya.

Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 di Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan serta alunan zikir daripada pelajar Maahad Tahfiz Sirajul Quran dan penampilan khas daripada Dr Fitri Haris.

Selain itu, turut diadakan sesi penyerahan sumbangan kepada wakil Maahad Tahfiz Sirajul Quran yang disampaikan oleh wakil Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar.

Sementara itu, penganjuran jelajah iftar ini turut mendapat kerjasama erat jenama minuman susu bijirin atau oat, Oatside, yang kini menjadi kegemaran ramai.

Pengurus Jenama Kanan Oatside, Shannon D. Francis, berkata jalinan kerjasama antara pihaknya dengan Mydin bukan sahaja bertujuan memeriahkan suasana Ramadan dalam jelajah iftar yang diadakan, malah ia sekali gus dapat memperkenalkan jenama Oatside kepada masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, sebagai penaja, Oatside memanfaatkan platform ini untuk mempromosikan produk minuman oat mereka yang enak dan sesuai dengan cita rasa tempatan.

Katanya, kerjasama ini memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai sendiri keunikan produk Oatside yang kaya dengan rasa dan nutrisi.

Kanak-kanak yang paling gembira kerana setiap seorang mendapat pelbagai barangan percuma yang diberikan oleh pihak penaja.
Kanak-kanak yang paling gembira kerana setiap seorang mendapat pelbagai barangan percuma yang diberikan oleh pihak penaja.

"Penyertaan dalam program sebegini sangat penting bagi memperkenalkan jenama kami yang masih baharu di pasaran.

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Mydin dalam program ini. Ia bukan sahaja membantu kami memperkenalkan produk kepada orang ramai, malah turut mengeratkan hubungan dengan komuniti tempatan. Kami berharap dapat mengekalkan kerjasama ini untuk jangka masa panjang,” katanya.

Selepas ini, Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 akan menemui orang ramai di Mydin Petra Jaya, Sarawak pada 19 Mac depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!