Anak yatim sebak kenang memori beli baju raya bersama ayah

Qaseh
Qaseh
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Dahulu selalu beli baju raya dengan arwah ayah cuma bila dia sudah tiada, ia jadi satu memori berharga buat saya."

Demikian kata Qaseh Nur'ain Abdullah, 16, salah seorang daripada penerima sumbangan program Gema Ramadan Bernas Santuni Golongan Miskin Bandar anjuran Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sini, pada Khamis.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, kenangan bersama ayahnya, Abdullah yang meninggal dunia ketika dia berusia 11 tahun akibat sakit jantung masih segar dalam ingatan.

"Ketika raya sahajalah saya sekeluarga bersama arwah ayah akan memakai baju sedondon dan itulah kenangan paling manis buat saya.

"Selepas ayah tiada, ibu yang banyak berkorban dan bekerja keras mencari rezeki untuk saya adik-beradik.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu dan membolehkan kami membuat persediaan raya lebih awal kerana selalunya kami hanya dapat membeli keperluan menjelang Aidilfitri," katanya kepada Sinar Harian.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika penyerahan sumbangan pada program Gema Ramadan Bernas.
Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika penyerahan sumbangan pada program Gema Ramadan Bernas.

Selain sumbangan duit raya, barangan keperluan asas seperti beras, gula, mihun dan bubur lambut juga diberikan kepada lebih 1,000 ibu tunggal, anak yatim dan golongan asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang.

Dalam pada itu, Program Gema Ramadan turut dilaksanakan dengan kerjasama Parlimen Titiwangsa meliputi aktiviti gotong-royong antaranya memasak bubur lambur dan makanan berbuka puasa, ziarah Ramadan di rumah dan majlis berbuka puasa di Surau Al-Falah, PPR Hiliran Ampang.

Menurut Rohani, pemerkasaan taraf hidup komuniti sentiasa menjadi keutamaan bagi membantu meringankan beban terutama menjelang Ramadan dan perayaan.

Katanya, sumbangan yang disalurkan adalah untuk memudahkan persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri khususnya bagi golongan kurang berkemampuan.

"Ini untuk memastikan setiap masyarakat dapat maraikan perayaan dengan penuh kegembiraan dan lebih bermakna.

"Kami bukan sahaja memberi sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40), tetapi juga melibatkan golongan miskin bandar," katanya.

Sementara itu, Johari turut berkata, program Gema Ramadan itu sangat bermakna khususnya kepada penduduk di situ yang menerima pelbagai bantuan daripada Bernas.

“Di sini ada 940 unit rumah terdiri daripada blok A, B dan C. Setiap rumah menerima beras 10 kilogram, gula dan mihun. Selain itu, turut disampaikan bantuan kepada asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.

“Ini salah satu CSR Bernas dan kita ucap terima kasih kerana memilih Parlimen Titiwangsa untuk program ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!