Jual kewarganegaraan wajar dipanggil pengkhianat

MEREKA yang terlibat dalam penjualan dokumen kewarganegaraan kepada warga asing demi kepentingan peribadi layak digelar seorang pengkhianat negara.
Perbuatan tersebut bukan sahaja mencemarkan integriti sistem pentadbiran malah mengancam kedaulatan negara dengan membolehkan individu yang tidak layak menikmati hak eksklusif sebagai warganegara Malaysia.
Lebih membimbangkan, kesalahan itu bukan sekadar isu penyelewengan tanggungjawab awam tetapi turut melibatkan aspek keselamatan nasional.
Kewarganegaraan bukan sekadar sehelai dokumen sebaliknya simbol hak, keistimewaan dan tanggungjawab yang perlu dipelihara.
Sekiranya status berkenaan diperoleh secara haram, implikasinya boleh menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
Media sebelum ini turut melaporkan pelbagai kisah menyayat hati seperti seorang ibu tunggal yang berjuang selama belasan tahun demi membolehkan dua anaknya memperoleh kad pengenalan biru sebagai identiti rasmi.
Dianggarkan sekitar 12,000 hingga 16,000 individu di Semenanjung Malaysia dan kira-kira 300,000 di Sabah pula masih berstatus tanpa kerakyatan disebabkan kesukaran mendapatkan dokumentasi kewarganegaraan.
Dalam keadaan rakyat sendiri bergelut untuk mendapatkan pengesahan identiti, terdapat pihak yang sewenang-wenangnya menjual kewarganegaraan kepada warga asing hanya untuk mengaut keuntungan mudah.
Sekiranya pemberian kewarganegaraan Malaysia terus berlaku tanpa kawalan ketat, pelbagai kesan buruk bakal menimpa negara.
Pertama, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam struktur demografi negara sekali gus menjejaskan hak dan peluang rakyat tempatan dalam aspek pendidikan, pekerjaan serta kebajikan sosial.
Kedua, lambakan warga asing yang memperoleh kerakyatan secara tidak sah boleh meningkatkan risiko keselamatan negara termasuk penyusupan unsur jenayah terancang, kegiatan pemerdagangan manusia dan penyalahgunaan kemudahan kebajikan negara.
Seterusnya, kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan boleh terhakis sekiranya sindiket penjualan kewarganegaraan berleluasa tanpa tindakan tegas sekali gus mencerminkan kelemahan dalam sistem pentadbiran negara.
Setakat ini, kadar hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dilihat memadai bagi menghukum mereka yang terlibat dalam pemalsuan dokumen kewarganegaraan.
Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan, satu bentuk hukuman berat bagi mereka yang mengkhianati negara demi kepentingan peribadi.
Pihak berkuasa bagaimanapun mesti mengambil pendekatan lebih tegas kerana kesalahan itu boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan identiti, peningkatan jenayah rentas sempadan, serta menjejaskan hak rakyat tempatan dalam pelbagai aspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
