Sembilan individu Parlimen Selayang terima sijil kewarganegaraan

SHAH ALAM - Seramai sembilan individu di Parlimen Selayang menerima sijil kewarganegaraan masing-masing pada Ahad.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sijil kewarganegaraan itu dipohon melalui Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen.
"Diharapkan sambutan Tahun Baharu Cina ini memberikan lebih makna kepada sembilan individu tersebut dan semua warga Tiong hoa Sungai Tua dan Selayang.
"Semoga Tahun Ular Kayu ini membawa limpahan rezeki dan keharmonian kepada kita semua di Selangor," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Amirudin memberitahu, kerajaan negeri telah menubuhkan Unit taskforce MySel pada tahun 2018 bagi membantu menangani permasalahan dihadapi rakyat di negeri ini khususnya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.
"Setakat ini, taskforce ini telah banyak membantu golongan kurang berkemampuan yang tidak mempunyai pengetahuan dan saluran betul membuat permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan," tambah beliau.
Terdahulu, beliau turut meraikan Sambutan Tahun Bahari bersama-sama warga Selayang dan Sungai Tua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru.
Sambutan Tahun Baru Cina itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


