Penyakit anxiety dan perjuangan menghadapinya setiap hari

KALI ini Merak Jalanan nak kongsikan kisah seorang rakan.
Kalau dilihat dari luaran, rakan Merak Jalanan ini seorang yang tenang dan bahagia, seolah-olah tidak ada masalah dalam dirinya.
Namun, tidak siapa tahu, rupa-rupanya dia menghidap anxiety.
Dengar macam biasa-biasa sahaja, tetapi hakikatnya penyakit ini boleh menyebabkan hidup menjadi kacau bilau, daripada sekecil-kecil perkara sampailah ke tahap rasa macam nak mati.
Cerita rakan Merak Jalanan ini, pernah satu masa dia sedang menyiapkan tugasan penting di pejabat, tiba-tiba dadanya rasa ketat, tangan berpeluh-peluh.
Kepala pula ligat memikirkan bermacam-macam. Padahal, tak ada apa-apa berlaku pun.
Menurut rakan Merak Jalanan ini, perasaan overthinking ibarat makanan hariannya.
Lagi teruk kalau kena buat pembentangan depan orang ramai.
Lutut menggigil, suara terketar-ketar.
Mendengar kisah rakan ini, barulah Merak Jalanan tahu penyakit anxiety ini bukan perkara main-main. Boleh diibaratkan seperti ‘hantu yang tak nampak, tapi wujud’.
Mengganggu tidur, cepat penat, susah fokus dan kadang-kadang jadi panas baran tanpa sebab, itu antara simptom-simptom seseorang diserang anxiety. Orang sekeliling mungkin tak faham apa yang dialaminya.
Tapi setiap masalah ada jalan keluarnya. Rakan Merak Jalanan ini mula mengambil langkah kecil bercakap dengan kawan yang memahami, berjumpa kaunselor dan perlahan-lahan mengenali punca anxiety.
Paling penting, kata kawan Merak Jalanan ini, selain berhenti mengambil minuman kafein, dia sudah mula kurang melayari media sosial dan kembali dekatkan diri dengan ajaran Islam.
Nasihat rakan Merak Jalanan ini, kalau ada masalah, janganlah simpan seorang diri, sebaliknya carilah bantuan.
Penyakit bukan penamat cerita, ia cuma sebahagian perjalanan dan kita semua berhak rasa bahagia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
