Penduduk Palestin reka pintu peti sejuk lama jadi sampan

BANDAR GAZA - Khaled Habib cuba mengimbangkan badannya di atas pintu peti sejuk yang dijadikan sebagai sampan sambil mendayung ke kawasan tangkapan ikan yang terhad di Bandar Gaza.
Kempen pengeboman ganas rejim Zionis selama lebih 15 bulan telah membinasakan kesemua bot yang menjadi 'nadi penting' buat golongan nelayan di wilayah tersebut.
“Kami berada dalam keadaan yang amat sukar ketika ini. Tiada lagi bot yang boleh digunakan untuk menangkap ikan.
“Saya terpaksa buat sendiri bot daripada pintu peti sejuk lama disumbat dengan gabus untuk menjadikan ia terapung. Mujur ia berfungsi,” kata Habib yang menarik nafas lega kerana masih dapat mencari sumber makanan buat keluarganya.
Dia turut menghasilkan papan dayung sementara kalis air dan sangkar daripada wayar kerana kekurangan jaring, namun hanya dapat menangkap ikan dalam jumlah yang kecil.
Habib kini memancing di kawasan pelabuhan kecil dan menggunakan doh sebagai umpan.
Menurutnya, Israel masih melarang aktiviti tangkapan ikan di luar pelabuhan enklaf tersebut meskipun gencatan senjata rapuh yang meredakan perang ganas itu telah berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
“Jika kami melepasi zon dibenarkan, bot Zionis akan melepaskan tembakan. Kami terpaksa berdepan sekatan sedemikian.

“Saya menangkap ikan untuk mengisi perut keluarga saya dan selebihnya dijual pada harga yang berpatutan,” katanya yang cuba membantu penduduk Palestin yang lain supaya tidak kelaparan.
Penduduk Gaza masih hidup sengsara selepas Israel menyekat akses penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 2 Mac lalu.
Beberapa nelayan terutamanya generasi muda bagaimanapun tampil dengan idea untuk mencari sumber makanan sendiri di laut dengan menggunakan platform terapung sementara.
“Banyak manfaat apabila belajar membuat segala-galanya seperti membuat bot daripada objek yang ada di sekeliling kami.
“Selain itu, semua orang termasuk kanak-kanak juga boleh belajar berenang, mendayung dan berlayar jika berdepan keadaan terdesak seperti ini,” jelas Habib lagi.
Pada Disember lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pernah memberi amaran perang genosid di Gaza telah mengakibatkan sektor perikanan yang pernah berkembang maju di Gaza kini berada di ambang kehancuran.
“Hasil tangkapan harian di Gaza secara purata antara Oktober 2023 dan April 2024 merosot kepada 7.3 peratus daripada paras pada 2022 hingga menyebabkan kerugian pengeluaran berjumlah AS$17.5 juta (RM77.2 juta),” menurut agensi antarabangsa tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

