Ibu pilu jumpa mayat tiga beradik dalam peti sejuk

ANAMBRA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun bersama dua kakaknya, masing-masing tujuh dan sembilan tahun ditemukan maut dalam peti sejuk di rumah mereka di Nnewi, Nigeria.
Ibu mereka, Chikazor Ogochukwu Ejezie berkata, dia meninggalkan anaknya di rumah selama tiga jam untuk menduduki peperiksaan di Ihiala, kira-kira 70 kilometer (km) dari rumah.
Sekembalinya ke kediaman mereka, wanita itu mendapati pintu rumah terbuka dan ketiga-tiga anaknya tiada.
"Saya sangka mereka sedang bermain dan akan pulang tetapi bila hari semakin petang dan mereka masih belum pulang, saya risau dan minta pertolongan jiran.
"Saya bertanya sama ada anak-anak saya ada di rumah jiran, namun dia kata tidak," katanya memetik laporan BBC.

Dalam pada itu, Chikazor memaklumkan, seorang jirannya memberitahu ada melihat dua pemuda berlegar-legar di kawasan kejiranan pada hari kejadian.
Jiran itu juga berkata, dia melihat anak perempuan wanita itu keluar membeli sesuatu dan pulang semula ke rumah.
Selepas pencarian dilakukan, mereka akhirnya menemui tiga beradik dalam sebuah peti sejuk di rumah mereka.
Sementara itu bapa kanak-kanak berkenaan yang juga suami Chikazor, Samuel Ejezie mendakwa, kejadian tersebut mencurigakan kerana kebiasaannya anak-anak mereka akan menyambut kepulangan ibunya.
"Biasanya apabila isteri saya balik, anak-anak akan keluar menyambutnya dengan pelukan tetapi pada hari itu apabila kembali, dia melihat kasut bersepah.
"Hanya kami dan ibu tuan rumah tinggal di kawasan ini, tetapi dia tiada di rumah semasa kejadian.
"Penyewa lain ialah pelajar jururawat dan saya yakin mereka tidak terlibat kerana kami tiada masalah dengan mereka," ujarnya.
Sehingga kini, empat hari selepas kejadian, pihak berkuasa terus menyiasat secara menyeluruh bagi membongkar kebenaran di sebalik kematian misteri itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!