Seludup PATI, barang kawalan paling popular musim raya - Saifuddin

KLANG – Penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta barang kawalan dikenal pasti sebagai dua jenayah utama yang berlaku di perairan negara sepanjang musim perayaan Aidilfitri, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aktiviti haram tersebut dikesan berdasarkan data yang direkodkan.
Menurutnya, penyeludupan PATI berlaku kerana ramai di antara mereka mahu pulang ke negara asal melalui jalan laut manakala barang kawalan yang sering diseludup termasuk minyak masak, tong gas dan diesel.
"Kami juga menyedari taktik sindiket yang menggunakan iklan di media sosial seperti Facebook dan TikTok untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran pulang secara haram.
"Kerajaan ingin menegaskan bahawa kawalan sempadan negara diperkukuh 24 jam dan mana-mana individu yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan. Abaikan iklan di media sosial kerana mereka tidak boleh terlepas apabila operasi sempadan laut, darat dan udara ini dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar Tinjauan Penguatkuasaan Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di Pusat Hidrografi Nasional, di sini pada Rabu.

Turut hadir Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohamad Rosli Abdullah, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Saifuddin turut memaklumkan bahawa Maritim Malaysia telah melaksanakan Op Khas Pagar Laut sempena musim perayaan.
Operasi tersebut merangkumi empat fasa iaitu pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan sebelum dan selepas perayaan, serta pemantauan dan Post Exercise Debrief (PXD).
Beliau berkata, sejak operasi itu dilaksanakan pada 2020 hingga tahun lalu, sebanyak 251 kes termasuk berprofil tinggi berjaya ditumpaskan dengan nilai rampasan berjumlah RM110 juta.
"Daripada jumlah tersebut, Sabah mencatatkan kes tangkapan tertinggi iaitu 69 kes, diikuti Perak (57 kes) dan Johor (31 kes).
"Selain itu, kesalahan paling banyak direkodkan di bawah Akta Perikanan 1985 dengan 185 kes, Akta Imigresen 1959/63 (95 kes) dan Ordinan Perkapalan Saudagar sebanyak 40 kes," katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menegaskan bahawa kerajaan sedang dalam usaha untuk melanjutkan program repatriasi migran bersama Indonesia sehingga 2026.
"Melalui program ini, warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 boleh menyerah diri, membayar kompaun dan pulang dengan selamat.
"Pada tahun lalu sahaja, inisiatif ini telah mengutip RM120 juta daripada bayaran kompaun," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
