Polis lengkapkan kertas siasatan doktor berkelakuan tidak senonoh

Laporan Sinar Harian mengenai doktor pakar forensik yang direman kali kedua pada minggu lalu bagi membantu kes berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit wanita.
Laporan Sinar Harian mengenai doktor pakar forensik yang direman kali kedua pada minggu lalu bagi membantu kes berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit wanita.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes doktor perubatan sebuah hospital di sini yang ditahan kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakitnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya membuka tiga kertas siasatan berhubung kes melibatkan doktor lelaki berusia 43 tahun itu.

"Lelaki berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam... setakat ini kami telah lengkapkan tiga kertas siasatan dan akan diserahkan kepada pihak atasan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini pada jam 9.30 malam 26 Februari selepas menerima maklumat daripada pihak hospital dan suspek direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac.

Bagaimanapun suspek ditahan semula Khamis lepas, selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023 sebelum seorang wanita warga asing pula membuat laporan polis pada Jumaat lepas, mendakwa suspek memperdayakannya untuk membuka pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di hospital tempat doktor itu bertugas pada 20 Februari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!