Doktor tak senonoh ditahan semula

GEORGE TOWN - Doktor pakar forensik yang direman kali kedua pada minggu lalu bagi membantu kes berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit wanita ditahan sekali lagi pada Isnin.
Penahanan reman doktor berusia 43 tahun itu berakhir pada 10 Mac namun dia ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) selepas mangsa ketiga membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, penahanan semula suspek itu dibuat untuk siasatan lanjut selain untuk melengkapkan kertas siasatan.
"Suspek hanya ditahan semula susulan laporan polis ketiga yang kita terima. Suspek bagaimanapun tidak akan direman kali ketiga kerana penahanannya hanya untuk melengkapkan kertas siasatan sahaja.
"Dia akan diberi jaminan polis setelah siasatan selesai," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Pada Jumaat lalu, seorang wanita warga asing tampil membuat laporan polis terhadap doktor pakar forensik tersebut kerana didakwa melakukan kelakuan tidak senonoh terhadapnya di sebuah hospital pada Februari lalu.
Mangsa berusia 25 tahun itu membuat laporan polis pada Jumaat dan menjadikan dia mangsa ketiga membuat laporan terhadap doktor berkenaan.
Wanita itu memaklumkan kejadian berlaku pada 20 Februari lalu pada jam 9.15 malam.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, suspek yang baharu direman kerana berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang pesakit di sebuah hospital baru-baru ini direman sekali lagi untuk membantu siasatan berhubung kes sama melibatkan seorang wanita lain di sebuah klinik di Pulau Tikus.
Penahanan penjawat awam itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 30 tahun pada jam 10.16 malam, Selasa minggu lalu.
Suspek direman sehingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

