Kes Zamri Vinoth, DJ Era: Polis tunggu arahan AGC

Razarudin menyatakan setakat ini terdapat 31 kes yang diterima oleh pihaknya mengenai isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) pada tahun ini.
Razarudin menyatakan setakat ini terdapat 31 kes yang diterima oleh pihaknya mengenai isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) pada tahun ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkembangan siasatan kes terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth, dan kakitangan stesen radio Era FM berkenaan isu dakwaan menghina agama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, berkenaan kes yang melibatkan Zamri Vinoth, sebanyak 894 laporan telah diterima.

Katanya, percakapan pendakwah bebas itu juga telah diambil.

"Kertas siasatan kes ini masih dalam kajian pihak AGC. Setakat ini, belum ada arahan lanjut. Begitu juga bagi kes yang membabitkan penyampai radio," katanya pada Rabu.

Mengulas mengenai isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) pada tahun ini, Razarudin berkata, setakat ini terdapat 31 kes yang diterima oleh pihaknya.

Menurutnya, bagi kes yang membabitkan institusi diraja, terdapat 17 kes, perkauman (2 kes) dan agama (12 kes).

Tegas Razarudin, penyebaran isu 3R yang mempunyai niat jahat boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara, ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik, kestabilan ekonomi dan keharmonian antara kaum di negara ini.

"Isu 3R adalah strategi perang baharu yang boleh memusnahkan negara dengan hanya melalui hujung jari.

"Diingatkan orang ramai agar bersikap lebih matang dan tidak terlalu mengikut emosi. Tapis semua maklumat, berita atau video yang dikongsi di media sosial serta jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum sahih," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, elakkan penulisan status, komen, siaran gambar, poster atau video yang dibuat tanpa memahami faktor sosial, budaya dan sensitiviti kaum.

"Sikap saling hormat-menghormati dan sayangkan keamanan perlu disematkan serta jangan terpengaruh dengan agenda pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!