Elak perdebatan terbuka demi perpaduan negara - Mohd Na’im

PUTRAJAYA - Sebarang perdebatan terbuka, terutama yang melibatkan isu sensitif seperti agama, perlu dipertimbangkan dengan teliti bagi mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berpandangan, perbincangan secara terbuka boleh membawa kesan yang tidak diingini kepada keharmonian negara.
“Saya sendiri pernah diajak untuk berdebat. Namun, jika dilakukan secara terbuka, ia boleh menyebabkan masyarakat berpecah belah.
"Kita perlu memastikan setiap tindakan yang diambil memperkukuhkan perpaduan rakyat, bukan sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.
Dr Mohd Naim menyokong kenyataan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang, yang menasihatkan agar perdebatan mengenai perbezaan agama tidak diteruskan, terutama jika ia hanya bertujuan mencari perbezaan dan mengabaikan usaha membina perpaduan.
Menurut Dr Mohd Naim, Malaysia sebagai negara berbilang agama dan bangsa harus lebih menekankan dialog yang harmoni serta perbincangan tertutup yang lebih berstruktur.
Beliau menyeru semua pihak agar mempertimbangkan kesan jangka panjang sebelum menyokong cadangan perdebatan terbuka dan memastikan sebarang perbincangan mengenai isu-isu sensitif dijalankan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
"Kesatuan dan perpaduan rakyat harus menjadi keutamaan. Oleh itu, saya menyeru pihak-pihak yang terlibat agar berfikir secara matang dan mengutamakan keharmonian negara," tegasnya.
Dalam isu sama, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan sebelum ini juga memutuskan untuk tidak meneruskan debat berkaitan agama dengan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu demi menjaga perpaduan negara.
Saravanan berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

