Sistem Kejara perlu diaktif untuk disiplinkan pengguna jalan raya

KUALA LUMPUR – Sistem Kejara perlu diaktifkan semula bagi memastikan masyarakat lebih berdisiplin dan berasa gentar terhadap hukuman yang dikenakan.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, tindakan lebih tegas perlu diambil bagi mengekang peningkatan kes pemandu tanpa lesen yang semakin membimbangkan di negara ini.
Menurutnya, insiden kemalangan di lampu isyarat Senawang yang mengorbankan tiga nyawa membuktikan bahawa masalah ini bukan isu baharu dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berkuasa.
“Kewujudan pemandu dan penunggang motosikal tanpa lesen bukan perkara luar biasa. Statistik kemalangan jalan raya serta jumlah saman yang dikeluarkan oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak sedekad lalu jelas menunjukkan isu ini telah berlarutan terlalu lama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Difahamkan, sistem Kejara membolehkan kenderaan yang dipandu oleh individu tanpa lesen serta terlibat dalam kemalangan atau ditahan di tepi jalan disita sehingga keputusan mahkamah diumumkan.
Shahrim menjelaskan bahawa pesalah trafik tanpa lesen boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu golongan bawah umur dan individu dewasa yang sengaja mengelak daripada mendapatkan lesen memandu.
“Bagi kategori pertama, mereka terdiri daripada remaja di bawah umur minimum 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kenderaan empat roda. Statistik Bukit Aman merekodkan lebih 2,800 kematian melibatkan penunggang motosikal bawah 15 tahun sejak 2009 hingga 2021.
“Kategori kedua pula melibatkan golongan dewasa dan warga emas yang sudah lama memandu tetapi enggan mendapatkan lesen, termasuk mereka dalam industri kenderaan komersial seperti bas dan lori,” ujarnya.
Jelasnya, masalah ini berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain dasar yang tidak cukup ketat dalam mencegah individu tanpa lesen memiliki kenderaan.
“Kita perlukan dasar baharu yang menghalang individu tanpa lesen daripada membeli kenderaan serta hukuman lebih berat kepada pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tanpa lesen menggunakannya,” katanya.
Shahrim turut mencadangkan agar ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal atau memandu kereta tanpa lesen dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak, termasuk hukuman penjara atau denda sekurang-kurangnya RM10,000.
Beliau berkata bahawa denda minimum RM1,000 perlu dikenakan kepada mana-mana individu yang ditangkap memandu tanpa lesen, dan pesalah harus dihadapkan ke mahkamah seperti kesalahan trafik berat yang lain.
“Tidak boleh ada lagi kompaun RM300 atau kempen diskaun saman bagi kesalahan ini. Semua kes mesti dibawa ke mahkamah dan kenderaan yang digunakan mesti disita sehingga perbicaraan selesai,” tegasnya.
Mengulas mengenai undang-undang sedia ada, beliau berkata bahawa hukuman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih terlalu longgar dan tidak cukup ketat untuk mengekang trend ini daripada terus berleluasa.
“Kebanyakan pesalah hanya dikenakan denda ringan dan tidak disenarai hitamkan, menyebabkan mereka terus mengulangi kesalahan yang sama tanpa rasa takut terhadap undang-undang,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa JPJ dan pihak berkuasa untuk memperkasakan kembali sistem Kejara serta memastikan hukuman berat dikenakan terhadap pesalah trafik tanpa lesen sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

