ERAT Ramadan 2025: Kukuhkan integriti, satukan masyarakat

Sesi Forum al-Quran & Integriti bertajuk "Al-Quran: Menyemai Inspirasi, Memperkukuh Integriti".
Sesi Forum al-Quran & Integriti bertajuk "Al-Quran: Menyemai Inspirasi, Memperkukuh Integriti".
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menganjurkan Program ERAT Ramadan 2025 dan EAIC #QuranHour dengan matlamat memperkukuh integriti dan menyatukan masyarakat melalui nilai-nilai al-Quran.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Program ERAT Ramadan 2025 menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pegawai penguat kuasa, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) serta pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurut Ahli Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Yusof Ismail, program ini merangkumi aktiviti ibadah, pendidikan dan kesedaran, termasuk gotong-royong menyediakan serta mengedarkan 3,000 bubur lambuk, sesi EAIC #QuranHour, serta Forum Al-Quran & Integriti.

YUSOF
YUSOF

“Program ini bukan sahaja mengangkat integriti dalam penguatkuasaan undang-undang tetapi juga membentuk individu yang bermoral, amanah dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Aktiviti ini dianjurkan dengan kerjasama 19 agensi penguatkuasaan, menzahirkan komitmen EAIC dalam menerapkan integriti dalam kehidupan seharian.

Sesi EAIC #QuranHour menumpukan kepada penghayatan Surah As-Saff, yang menekankan kejujuran, amanah dan istiqamah dalam mempertahankan kebenaran.

Menurut Yusof, surah ini mengisahkan perjuangan Hawariyyun, sahabat Nabi Isa A.S., yang kekal teguh dalam mempertahankan ajaran yang benar.

Artikel Berkaitan:

“Integriti bukan sekadar menghindari rasuah tetapi juga berkaitan dengan kejujuran, ketulusan hati dan komitmen terhadap amanah,” ujarnya selepas majlis perasmian pada Selasa.

Mohd Na'im (tengah) hadir merasmikan Program ERAT Ramadan 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.
Mohd Na'im (tengah) hadir merasmikan Program ERAT Ramadan 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.

Majlis ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dengan kehadiran ketua-ketua jabatan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC.

Dalam pada itu, Forum "Al-Quran: Menyemai Inspirasi, Memperkukuh Integriti" turut mendapat perhatian ramai.

Antara panel jemputan khas ialah Timbalan Mufti Negeri Perak, Datuk Zamri Hashim dan Daie Izzhar Nazri, yang membincangkan peranan agama dalam memperkukuh integriti masyarakat.

Program di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya ini menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pegawai penguat kuasa, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) serta pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Program di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya ini menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pegawai penguat kuasa, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) serta pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurut Zamri, integriti perlu diterjemahkan dalam setiap keputusan dan tindakan terutama bagi mereka yang memegang amanah besar dalam perkhidmatan awam.

“Kejujuran dan keadilan yang diajar oleh al-Quran mesti dijadikan asas dalam setiap tindakan,” ujarnya.

Sementara itu, Daie Izzhar Nazri menegaskan bahawa nilai integriti dan tanggungjawab harus bermula dari dalam diri individu sebelum dipraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Jika setiap individu berpegang pada prinsip yang betul, kita dapat mewujudkan negara yang lebih telus, beramanah dan dihormati,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan Yusof, beliau turut menegaskan nilai-nilai integriti tidak boleh diamalkan secara bermusim, tetapi perlu menjadi budaya dalam kehidupan seharian, terutama dalam sektor perkhidmatan awam dan penguatkuasaan undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin (tengah) hadir ke program itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin (tengah) hadir ke program itu.

“Kepercayaan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan bergantung pada sejauh mana integriti dipelihara. Jika pegawai penguat kuasa menunjukkan teladan yang baik, masyarakat akan lebih mempercayai sistem yang ada,” ujarnya.

Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dengan penglibatan sektor swasta dan belia bagi meningkatkan kesedaran tentang amanah, kejujuran serta tanggungjawab.

Dengan semangat Ramadan, ERAT Ramadan 2025 berjaya mengukuhkan hubungan antara masyarakat dan institusi penguatkuasaan, sekali gus memperkasakan sistem keadilan dan ketelusan dalam negara.

EAIC percaya bahawa dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan utama, Malaysia dapat melahirkan pemimpin yang amanah, masyarakat yang bersatu padu dan sistem yang berintegriti tinggi, sejajar dengan nilai-nilai Islam dan keadilan sejagat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!