Pasar borong, rumah kedai digempur, 75 PATI ditahan

JOHOR BAHRU - Seramai 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di lokasi panas sekitar bandar raya ini pada Selasa dan Rabu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pertama melibatkan 22 premis di sekitar Pasar Borong Pandan sekitar jam 3 petang, Selasa.
“Seramai 66 warga asing diperiksa yang mana 35 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagi operasi kedua yang dijalankan di Bandar Baru Permas Jaya pada jam 12.30 tengah malam, Rabu pula membabitkan pemeriksaan ke atas sembilan premis rumah kedai.
“Dalam operasi tersebut, seramai 64 warga asing diperiksa yang mana 40 daripada mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mohd Rusdi berkata, hasil kedua-dua operasi pihaknya berjaya menahan 75 warga asing dari pelbagai negara.
“Mereka terdiri daripada warga Myanmar seramai 30, Indonesia (30), Bangladesh (11), Pakistan (2) dan Vietnam (2).
“Semua tahanan melibatkan lelaki dan wanita itu berusia antara 18 hingga 55 tahun,” katanya.
Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sebanyak tujuh notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan sepanjang operasi ini bagi membantu siasatan.
"Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


