Gol JDT ofsaid? Ini jawapan pakar

GOL penyamaan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada minit akhir perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim dinafikan kerana ofsaid, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Harimau Selatan.
Dalam perlawanan itu, Suphanat Mueanta meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-58 sebelum JDT berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan melalui Jorge Obregon.
Namun, gol tersebut dibatalkan selepas penolong pengadil mengesan Obregon berada dalam kedudukan ofsaid sekali gus menyaksikan JDT gagal untuk meneruskan perjuangan dalam saingan ACLE.
Bagi bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh menyifatkan keputusan dibuat pengadil berdasarkan proses yang betul dan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) telah berjaya memastikan Obregon ofsaid.
Namun, beliau berkata, mungkin apa yang menimbulkan isu apabila bukti keadaan ofsaid tersebut tidak ditayangkan kepada penonton sehingga ia menimbulkan pertikaian.
"VAR ada teknologi tersendiri dan akan lukis garisan untuk membuktikan ofsaid itu. Situasi ofsaid tersebut memang agak rapat dan berdasarkan pemahaman saya tentang VAR, memang saya yakin ia ofsaid.
"Cumanya, pemahaman dan penguasaan serta bukti sepatutnya dapat diperlihatkan kepada penonton.
"Selalunya VAR akan periksa sesuatu situasi ofsaid itu dan apabila sudah sah, maka VAR akan memaklumkan kepada pengadil. Dalam masa sama, bukti itu akan dapat kepada penyiar.
"Penyiar yang akan tayangkan kepada umum tidak kira di televisyen atau di skrin di stadium. Ia perlu dipamerkan kepada penonton untuk membuktikan situasi ofsaid tersebut," katanya kepada Sukan Sinar.
Subkhiddin turut menjelaskan bahawa kedudukan ofsaid sukar dinilai dengan mata kasar kerana kamera utama yang merakam dari tengah padang tidak dapat memberikan perspektif yang tepat.
"Jika kita hanya menilai menerusi kamera utama, sudut pandangan tidak begitu jelas. Kamera garisan ofsaid juga tidak memberikan keputusan tepat tanpa penggunaan teknologi garisan oleh VAR.
"Dalam VAR, terdapat teknologi ‘virtual offside line’ dan ‘cross hair’ yang digunakan bagi menentukan kedudukan sebenar pemain sebelum keputusan dibuat dan saya yakin ia keputusan tepat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!