Pembeli kecewa rumah indah khabar dari rupa

MUKADIMAH
Memiliki kediaman sendiri yang nyaman dan selesa sudah tentu menjadi impian setiap individu, apatah lagi mereka yang sudah berkeluarga.
Dilengkapi kemudahan asas, lokasi yang strategik dan jaminan keselamatan yang baik sudah tentu menjadi antara faktor utama pemilihan rumah impian.
Namun, selepas berbelanja besar dan melaburkan wang simpanan untuk pemilikan rumah, pembeli rumah pastinya kecewa sekiranya rumah diterima, hanya indah khabar dari rupa.
Masalah itu dikongsi sekumpulan pembeli sebuah projek perumahan baharu di Nibong Tebal, Pulau Pinang bersama wartawan Sinar Harian, MOHD ISKANDAR OTHMAN baru-baru ini.
PEMBELI mendakwa kualiti rumah yang diterima tidak memuaskan dan meskipun banyak aduan dan laporan kerosakan telah dikemukakan kepada pemaju, mereka runsing apabila kerja-kerja baik pulih amat perlahan.
Apa yang dikesalkan, ada di antara mereka terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk membaiki kecacatan rumah yang belum diduduki itu kerana letih menunggu tindakan dan kerja baik pulih oleh kontraktor dilantik pemaju.
Pembeli, Mohd Sani Sulaiman, 44 berkata, selepas menerima kunci daripada pemaju pada November tahun lalu, dia terkejut melihat keadaan dinding rumah yang mempunyai keretakan selain beberapa masalah lain.
Menurutnya, penilaian pemeriksaan kecacatan rumah yang dibuat menghasilkan 78 muka surat laporan dan semuanya telah diserahkan kepada pemaju untuk dibaik pulih segera.

“Malangnya apabila beberapa kali aduan dibuat pemaju seolah-olah ambil tindakan sambil lewa dalam menyiapkan kerja-kerja baik pulih.
“Ikut perancangan kebanyakan penduduk di sini, selepas terima kunci November lalu kami impikan dapat la beraya di rumah baharu kali ini, tapi disebabkan banyak sangat masalah dan kelewatan baik pulih nampaknya tak tercapai hasrat kami,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.
Turut meluahkan rasa kecewa, Muhd Naim Mazlan, 30 yang membeli rumah pertama di projek perumahan berkenaan selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga.
Juruteknik di sebuah kilang berhampiran itu berkata, dia membeli rumah itu kerana dekat dengan lokasi tempat kerjanya selain tertarik dengan reka bentuk kediaman tersebut.
Bagaimanapun katanya, ramai pembeli termasuk dirinya terkesan dengan banyak masalah dan kecacatan kerja-kerja akhir pembinaan.
“Kerosakan paling ketara ialah kebocoran pada bahagian siling rumah yang berisiko runtuh sekiranya tidak dibaiki segera. Saya difahamkan ada kes siling runtuh di rumah jiran berhampiran.
“Bila aduan dibuat kerja-kerja baik pulih yang dilakukan sangat tidak meyakinkan kami. Kami beli rumah kerana mahu hidup tenang dan selamat bukannya jadi lebih runsing kerana fikir masalah ini dan soal keselamatan,” katanya.
Rosnadia Ruslan, 37, turut mengesan kebocoran pada siling rumahnya, selain kebocoran paip dipercayai berlaku dalam dinding bilik utama bersebelahan tandas.

Tambahnya lagi, selain kesan retakan pada dinding dia juga mengesan keretakan pada lantai anjung kereta di luar rumah yang dibaiki secara kosmetik oleh kontraktor hingga menyakitkan mata setiap kali mahu masuk dalam rumah.
“Saya tak faham kenapa pemaju bersikap begini dengan pembeli, kenapa mesti lengahkan kerja-kerja baik pulih. Kami sudah penat menunggu,” katanya.
Lapor kepada pihak berwajib, Exco jika pemaju terus lepas tangan
WAKIL jawatankuasa bertindak penduduk, Nor Paezah Abdullah berkata, pihaknya bersepakat untuk membuat laporan kepada agensi berkaitan termasuk Exco Perumahan Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya pihak pemaju masih bersikap lepas tangan untuk menyelesaikan isu yang dihadapi pembeli.
Jelasnya, sebelum ini pembeli terpaksa menunggu bertahun-tahun selepas projek perumahan itu terbengkalai dan kini mereka berdepan pula dengan masalah kualiti rumah yang tidak memuaskan.
“Terlalu banyak masa kita sudah bagi kepada pemaju kalau ikut perjanjian jual beli perkara ini perlu diselesaikan selepas 30 hari kita hantar kunci.
“Bagaimanapun sehingga kini ada pembeli mengadu yang rumah mereka belum dibuat kerja-kerja baik pulih walaupun beberapa kali aduan telah dibuat.
“Disebabkan isu ini berlarutan ada pembeli yang terpaksa menanggung kos lain seperti terpaksa menyewa rumah lain kerana masih belum dapat masuk rumah. Ada juga yang terpaksa melantik kontraktor sendiri untuk lakukan kerja-kerja baik pulih di rumah mereka selepas kontraktor pemaju gagal melalukan kerja dengan sempurna,” katanya.
Tambahnya, pembeli tidak mahu sekadar diberikan janji kosong kerana masalah dihadapi itu melibatkan keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Jika pemaju tidak ambil tindakan segera, kami tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah atau membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!