UMNO nafi calonkan Muhyiddin sebagai PM

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menafikan laporan media kononnya parti itu dan Pas telah bersetuju menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian kedua-dua parti itu tetap dengan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen dibubarkan.

"Laporan (media) kononnya UMNO dan Pas telah bersetuju menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak benar," katanya menerusi Twitternya hari ini.

Hari ini laporan media tempatan berbahasa Inggeris mendakwa Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kesemua Ahli Parlimen Pas dan UMNO telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

Annuar menafikan bahawa UMNO dan Pas bersetuju menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.
Annuar menafikan bahawa UMNO dan Pas bersetuju menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

Perkara tersebut kemudiannya disangkal oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dengan menyatakan bahawa Pas dan UMNO kekal dengan cadangan supaya Parlimen dibubarkan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sebarang kenyataan rasmi hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden atau Setiausaha Agong kedua-dua parti.

Sebelum ini, Annuar menegaskan Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meminta agar Parlimen dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut politik di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad menyatakan Pakatan Harapan mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan dengan gabungan yang dimiliki ketika ini.

Katanya, jumlah yang dimiliki PH setakat ini cukup untuk membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah meskipun tidak mencecah dua pertiga.

Tambahnya, tiada keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).