Perketatkan urusan pendaftaran pusat jagaan bagi elak rasuah

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan untuk memperketatkan sistem pendaftaran pusat jagaan bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan sebarang unsur rasuah yang boleh menjejaskan kebajikan penghuni.
Timbalan Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Muhammad Mukmin Nusril berkata, isu tersebut perlu dipandang serius kerana rasuah dalam sektor berkenaan bukan sahaja meruntuhkan integriti sistem pentadbiran tetapi juga membahayakan kebajikan golongan yang memerlukan.
“Apabila rasuah berlaku dalam kelulusan pusat jagaan, ia memberi gambaran bahawa sistem pentadbiran boleh dimanipulasi, seterusnya melemahkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Bukan itu sahaja, jika pendaftaran diberikan melalui rasuah, besar kemungkinan pusat tersebut tidak memenuhi standard keselamatan dan kebajikan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu pada Isnin menahan reman seorang penjawat awam disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai mendaftarkan pusat jagaan anak yatim dan asnaf milik sebuah syarikat.
Sumber SPRM memaklumkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, selepas permohonan dibuat SPRM.
Dalam pada itu, Muhammad Mukmin menegaskan bahawa kes tersebut membuktikan betapa mudahnya rasuah menyusup masuk ke dalam pelbagai sektor, termasuk pendaftaran pusat jagaan yang sepatutnya berfungsi untuk membantu golongan memerlukan.
“Ia menunjukkan perlunya pengawasan lebih ketat serta ketelusan dalam sistem kelulusan bagi mengelakkan individu yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kuasa mereka.
“SPRM perlu memastikan siasatan yang adil dan telus supaya kepercayaan masyarakat terhadap institusi awam tidak terjejas,” ujarnya.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan dan pihak berkaitan memperkenalkan sistem pendaftaran dalam talian yang lebih telus dengan pemantauan data bagi mengurangkan interaksi langsung yang boleh membuka ruang kepada rasuah.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan pendaftaran pusat jagaan kepada pihak berkuasa sebagai langkah membanteras penyelewengan.
“Isu ini menunjukkan perlunya reformasi dalam sistem pendaftaran pusat jagaan bagi memastikan ia bebas daripada rasuah.
“Semua pihak seperti kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam memastikan hanya pusat jagaan yang benar-benar layak diberikan kelulusan demi kesejahteraan penghuni yang memerlukan perlindungan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
