56 ladang babi di Selangor positif ASF

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah drastik dan tegas dalam menangani penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang kini melanda daerah Kuala Langat dan Sepang.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, ASF bukan penyakit zoonotik, ia tidak menjangkiti manusia tetapi memberi impak besar kepada industri penternakan babi.
Oleh itu, jelasnya, pemantauan menyeluruh telah dijalankan ke atas 114 ladang babi berlesen di dua daerah tersebut.
"Setakat 25 Februari 2025, sebanyak 56 ladang telah disahkan positif ASF, melibatkan kira-kira 76,000 ekor babi.
"Proses pelupusan secara berperingkat sedang giat dijalankan bagi membendung penyebaran wabak, dengan sasaran semua babi yang dijangkiti dilupuskan sebelum 31 Mac," ujarnya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau menambah, bagi memastikan ASF tidak merebak ke luar Selangor, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor telah mengeluarkan 14 Perintah Seksyen 19, Akta Binatang 1953 kepada pemilik ladang yang terlibat, mewajibkan mereka melupuskan ternakan yang dijangkiti.
Selain itu, ujarnya, langkah-langkah tambahan turut diambil, termasuk kawalan pergerakan ketat, di mana pemindahan babi hanya dibenarkan dalam Selangor dan hanya untuk tujuan penyembelihan di rumah penyembelihan yang dilesenkan.
"Bagi memastikan pemindahan dilakukan mengikut peraturan, kenderaan pengangkut babi hanya dibenarkan menggunakan laluan yang ditetapkan.
"Mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat ini boleh dikenakan tindakan undang-undang," ujarnya.
Sehingga kini, ujarnya, sebanyak 37 kenderaan telah diperiksa dalam Ops ASF, dengan enam kenderaan disita, termasuk sebuah lori ro-ro pengangkut.
"Sebanyak 68 ekor babi dan 9,405.7 kilogram karkas bernilai hampir RM472,900 telah dirampas kerana melanggar undang-undang.
"Seramai tujuh individu sedang disiasat, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," ujarnya.
Izham menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha mengawal ASF dan menyelamatkan industri penternakan babi yang sah di Selangor.
"Tindakan pantas dan tegas ini perlu bagi memastikan penyakit tidak terus menular serta menjejaskan keterjaminan makanan di negeri ini.
"Kami akan terus bekerjasama dengan penternak bagi meningkatkan langkah biosekuriti dan memastikan kelangsungan industri secara bertanggungjawab," ujarnya.
Beliau berkata, hebahan awam dan sesi kesedaran juga sedang dipergiatkan agar semua pihak memahami risiko ASF dan pentingnya langkah pencegahan.
"Kerajaan Negeri Selangor komited untuk menangani isu ini dengan berkesan, telus dan mengikut lunas undang-undang demi kepentingan semua pihak," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

