World #QuranHour: Hayati mesej penyatuan ummah melalui surah As-Saff

Mohamad Shukri (kiri) dan Surena (kanan) memegang risalah penerangan berkait Surah As-Saff. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohamad Shukri (kiri) dan Surena (kanan) memegang risalah penerangan berkait Surah As-Saff. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Penyatuan ummah menjadi kunci kekuatan Islam dan keberkatan Ramadan antara peluang terbaik untuk menghayati mesej perpaduan melalui program World #QuranHour 2025 yang akan diadakan pada 25 Mac ini.

Program bersamaan pada 24 Ramadan untuk peringkat negeri Kelantan itu bakal berlangsung di Madinah Ramadan, Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menegaskan bahawa surah As-Saff yang menjadi fokus program kali ini memberi peringatan jelas tentang kepentingan kesatuan dalam kalangan umat Islam.

“Islam menuntut kita agar berada dalam satu saf yang tersusun rapi, umpama batu-bata dalam binaan yang kukuh.

“Jika kita berpecah, kekuatan itu hilang dan akhirnya melemahkan umat Islam sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semasa pertemuan Jelajah Kempen World #QuranHour 2025 di Pejabat Mufti di Balai Islam, Lundang di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah World #QuranHour 2025 negeri Kelantan, Surena Mohd Noor.

Mohamad Shukri turut menegaskan bahawa al-Quran bukan sekadar kitab bacaan tetapi panduan kehidupan yang perlu difahami dan diamalkan terutama dalam membina kesatuan ummah.

Mohamad Shukri (tiga dari kiri) menerima cenderamata tafsir Quran daripada pihak penganjur World #QuranHour. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohamad Shukri (tiga dari kiri) menerima cenderamata tafsir Quran daripada pihak penganjur World #QuranHour. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Ramadan adalah masa terbaik untuk kita kembali kepada ajaran al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Dengan memahami dan menghayati surah As-Saff, kita dapat melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menghadapi cabaran ummah hari ini,” katanya.

Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam program ini bagi memperkukuhkan hubungan dengan al-Quran dan pada masa yang sama mengukuhkan perpaduan umat Islam.

“Saya menyeru umat Islam di Kelantan khususnya dan Malaysia amnya untuk bersama-sama menjayakan World #QuranHour.

“Ini bukan sekadar majlis membaca al-Quran, tetapi juga peluang untuk kita memahami mesej yang disampaikan oleh ALLAH dalam Surah As-Saff yang menekankan kesatuan dan kekuatan ummah,” katanya.

Program ini akan berlangsung di Madinah Ramadan sebagai lokasi utama, selain lebih 20 lokasi lain di seluruh Kelantan termasuk masjid dan institusi pendidikan.

Orang ramai dijemput hadir secara langsung atau mengikuti program ini secara dalam talian.

Penyertaan secara berkumpulan juga dialu-alukan, dan pendaftaran boleh dibuat melalui pihak penganjur 019-939 0693 (Surena).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!