Pencarum KWSP Islam wajib bersihkan 61 peratus dividen konvensional untuk keberkatan - Pakar

Laporan Sinar Harian mengenai KWSP umum kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun 2024. Gambar kecil: Dr Zaharuddin
Laporan Sinar Harian mengenai KWSP umum kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun 2024. Gambar kecil: Dr Zaharuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang beragama Islam wajar membuat pembersihan berjumlah 61 peratus daripada dividen Simpanan Konvensional yang diumumkan.

Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mereka yang hanya menginginkan pendapatan yang halal dan bersih.

"Alhamdulillah, dividen simpanan Shariah bagi tahun 2024 adalah 6.3 peratus, buat pertama kalinya sejak 2017, yang berjaya menyamai dividen Simpanan Konvensional.

"Namun, bagi mereka yang inginkan pendapatan yang halal lagi bersih sahaja, 61 peratus daripada jumlah dividen konvensional itu mesti dibersihkan.

"Ini menjadikan dividen patuh Shariah KWSP konvensional yang halal dinikmati hanya sebanyak 2.46 peratus," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 6.3 peratus untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata jumlah agihan bagi Simpanan Shariah melibatkan RM10.19 bilion, dan RM63.05 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Dalam pada itu, Zaharuddin menjelaskan bahawa pembersihan tidak diperlukan bagi dividen Simpanan Shariah.

Justeru, menurutnya, adalah wajib bagi pencarum konvensional yang beragama Islam untuk bertukar ke Simpanan Shariah yang boleh dilakukan menerusi aplikasi KWSP dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Pelajarilah hal ehwal halal dan haram dalam pendapatan (kerana) kehidupan duniawi hanya sementara.

"Jangan kerana ringgit, kita kesusahan di akhirat kelak," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!